Frank Bernhardt terus keluar daripada Kelantan FC, Rezal Zambery sedang tunggu masa

3,117

Frank Bernhardt secara sahnya tidak lagi akan bersama Kelantan FC sebagai jurulatih ataupun pengarah teknikal selepas menamatkan kontraknya dengan cara ‘mutual consent’.

Menurut satu kongsian sebelum ini dibuat oleh ejen Bernhardt iaitu Sherif Ahmed Mostafa di laman Instagramnya mengatakan, bekas pengendali The Red Warriors itu kini sudah tidak lagi bersama dengan kelab tersebut dan berasa kasihan dengan nasib yang dialaminya.


Bernhardt pada awalnya dilantik menjadi ketua jurulatih bagi menggantikan Choi Moon-sik yang meninggalkan kelab itu atas sebab masalah dalaman, tambahan pula tidak berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh pemilik kelab tersebut iaitu Norizam Tukiman yang mahukan pengendali itu memperoleh kemenangan sebaik sahaja mengambil alih pasukan.

Namun dengan barisan pemain dan masalah dalaman terutama isu gaji menyebabkan prestasi pasukan terus menjunam termasuk dibelasah ‘si adik’ Kelantan United FC pada perlawanan Liga Super baru-baru ini.

Bukan sahaja Bernhardt, kini pembantu jurulatih Rezal Zambery juga dikatakan akan ‘angkat kaki’ untuk berhijrah ke pasukan jiran iaitu Kelantan United tidak lama lagi.

Kelantan United kini sedang membuat rombakan termasuk melantik ketua jurulatih baru iaitu Ailton Silva yang sebelum ini mengendalikan pasukan Liga 2 Thailand iaitu Chiangmai United dan sudah pasti Rezal bakal ditugaskan untuk membantu mengejar hala tuju kelab tersebut.

Bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia FA (ATM FA) itu sebelum ini pernah membawa Kelantan menjadi naib juara Liga Perdana pada musim lalu sekaligus menjadikan satu kerugian buat kelab gergasi pantai timur ini sekiranya Rezal keluar pada saat genting sebegini.

Selain isu keluarnya jurulatih dan pembantu jurulatih, beberapa pemain dijangka akan mengambil keputusan untuk tamatkan kontrak berikutan masalah tunggakan gaji yang masih belum selesai.

Antara pemain yang sudah ‘cabut lari’ termasuk tonggak utama seperti Miguel Cifuentes, Carli de Murga, Levy Madinda dan Afiq Azuan sudah pun keluar.

Sementara itu, Kelantan yang kini dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua tampak seperti yakin mereka akan dibenarkan untuk daftar pemain baru apabila baru sahaja melantik ketua jurulatih, jurulatih kecergasan dan dua pemain baru.

Apakah akan berlaku pada Kelantan hujung musim ini? Sama-sama kita tunggu dan lihat.