Saddil Ramdani mahu rakyat Indonesia faham dan sokong pemain yang berkelana di luar negara

3,109

Pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani membidas segelintir peminat bola sepak di negaranya dan meminta mereka hentikan kritikan dan menyokong pemain-pemain yang berkelana ke luar negara bagi untuk melebarkan kerjaya mereka.

Saddil berkata demikian selepas segelintir peminat Indonesia yang mengkritik prestasi hambar ketika bersama pasukan kebangsaan berbanding beraksi dengan cemerlang apabila beraksi dengan kelabnya Sabah FC.


Beliau yang sedikit berang dengan krtikan itu telah tampil berkongsi cabaran dan susah payah yang perlu dihadapinya ketika bermain di Liga Super Malaysia.

Pemain sayap Sabah itu sudah menyarung jersi kebangsaan Indonesia sebanyak 22 perlawanan dan hanya mencatatkan satu gol sahaja sepanjang bersama skuad Garuda itu.

Situasi ini berbeza kerana sebelum ini peminat negara jiran sering mengkritik mengenai kualiti pemain dari Malaysia, namun kini mereka ‘menyerang’ pemain mereka sendiri sedangkan Saddil berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

Hal ini juga secara tidak langsung membangkitkan api kemarahan dalam diri Saddil yang mahukan para peminat di sana memahami situasinya di sini dan baginya bermain dalam Liga Super bukanlah sesuatu yang mudah tambahan pula hendak beradaptasi dengan situasi berbeza jika dibandingkan di Indonesia.

Jika dilihat semula ranking yang telah dikeluarkan oleh AFC baru-baru ini menunjukkan Liga Super Malaysia menduduki tangga ke-13 di Asia dan kedua terbaik di rantau Asia Tenggara di belakang Thailand manakala Indonesia berada jauh di kedudukan ke-26 Asia dan keenam dibawah Singapura dan Filipina.

Jadi apa yang diluahkan oleh Saddil memang ada betulnya kerana tidak ramai pemain dari Indonesia yang bertahan untuk bermain di Liga Super disebabkan tekanan dan jangkaan yang dipinta oleh kelab terlalu tinggi.

Pemain berusia 24 tahun itu sudah beraksi di Liga Super selama tiga tahun dan pernah menjadi tonggak utama di bahagian sayap buat pasukan Sri Pahang FC pada tahun 2019 dengan rekod penampilan sebanyak 21 perlawanan dan telah menjaringkan dua gol serta tiga bantuan jaringan.

Bagaimanapun selepas pandemik COVID-19 reda, Saddil berhijrah ke negeri di bawah bayu untuk bermain bersama skuad di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dan kini menjadi antara tonggak utama pasukan itu.

Untuk musim ini beliau diturunkan dalam 10 perlawanan dan telah berjaya menjaringkan lima gol dan empat bantuan jaringan.