Terima pujian melambung, kehebatan Arif Aiman akan diuji pada Piala Asia 2023
Usai perlawanan separuh akhir Piala FA yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mara ke perlawanan akhir selepas berjaya menewaskan Selangor FC 4-1, namun perkara yang menjadi perhatian ramai adalah prestasi menakjubkan bintang muda sensasi Arif Aiman.
Kehebatan Arif menjaringkan hattrick telah membuatkan ramai yang kagum termasuk dua bekas ketua jurulatih kebangsaan iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah dan Datuk K.Rajagobal memberi pandangan berkenaan potensi pemain itu untuk berdiri setanding pemain-pemain bintang Asia yang lain selain menyifatkan pemain tersebut seperti jelmaan lagenda bola sepak negara iaitu arwah Mokhtar Dahari dan Datuk Soh Chin Aun.
Namun disebalik pujian melambung terhadap Arif, pemain itu enggan mendabik dada sebaliknya beliau merendah diri dan berkata masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya untuk menjadi seorang pemain hebat.
Komited dan tidak pernah berpuas hati adalah salah satu kunci kejayaan pemain muda itu, tambahan pula mendapat sokongan dan dorongan daripada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang menasihati pemain itu supaya terus bekerja keras kerana perjalanannya dalam dunia bola sepak masih jauh.
Arif sememangnya terbukti menjadi fenomena bola sepak tanah air terutama dalam saingan liga domestik dan membuktikan kemampuannya di pentas AFC Champions League (ACL) apabila berjaya membantu Harimau Selatan berjaya mara ke pusingan 16 pada musim lalu.
Namun cabaran sebenar untuk Arif adalah pada kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia iaitu Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024.
Biarpun senarai pemain yang akan menyarung jersi Harimau Malaya masih belum diumumkan, namun dengan prestasi menakjubkan yang dipamerkan sepanjang musim ini termasuk aksi cemerlangnya pada perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini, 99% peminat percaya Arif akan memperkuat pasukan pada kejohanan itu nanti.
Mungkin mudah untuk Arif mengucar-ngacirkan barisan pertahanan lawan yang rankingnya lebih rendah dari pasukan kebangsaan, tapi cabaran sebenar pemain itu adalah apabila bertemu pasukan gergasi Asia.
Ini kerana Malaysia telah diundi dalam kumpulan bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Pentas Piala Asia adalah platform untuk beliau mempamerkan kemampuan sebenar beliau dan jika berjaya, pastinya banyak kelab-kelab besar di J-League, K-League atau pun Eropah akan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Terdahulu, Arif berjaya merangkul anugerah sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan sebanyak dua tahun berturut-turut iaitu pada 2021 dan 2022.
Harapan tinggi diletakkan kepada Arif supaya dapat mengikut jejak langkah seperti ramai pemain muda dari Asia lain termasuk pemain muda dari Korea Selatan iaitu Kim Ji-soo yang baru sahaja menyertai Brentford FC.
Diharap pemain itu akan terus kekal tenang dan tidak berasa tertekan dengan harapan menggunung peminat terhadapnya.