Kim Ji-soo, baru 20 tahun sudah terima kontrak bersama Brentford FC
Kualiti pemain dari Korea Selatan memang tidak dapat disangkal lagi apabila semakin ramai pemain-pemain muda dari negara itu berjaya menembusi liga-liga terbaik di Eropah dengan terbaru pemain muda Kim Ji-soo menjadi pemain terbaru akan menyarung jersi Brentford FC untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain berusia 20 tahun yang bermain di K2 League telah mengikat kontrak empat tahun dengan pilihan lanjutan kontrak jika pamer prestasi terbaik.
Ji-soo kini menjadi pemain ke-15 dari Korea Selatan yang berjaya menjejakkan kaki ke EPL yang mana ia merupakan satu pencapaian yang cukup luar biasa untuk seorang pemain dari Asia.
Pemain muda yang berketinggian 192 sentimeter itu sebelum ini bermain untuk kelab Seongnam selain menampilkan persembahan yang mantap apabila berjaya bersama pasukan kebangsaan Korea Selatan B-20 tahun meraih tempat keempat setelah tumpas kepada Israel 3-1 dalam kejohanan Piala Dunia B-20 tahun yang baru sahaja tamat pada 11 Jun yang lalu.
Ji-soo yang sudah bermain bersama skuad kebangsaan Korea Selatan sejak dari skuad B-15 sehingga kini telah bermain sebanyak 29 perlawanan dan menjaringkan satu gol.
Serba sedikit mengenai Ji-soo, pemain yang menjadi tonggak utama pertahanan Seongnam pada musim 21/22 tidak bermain untuk separuh musim namun Kim Nam-il ketika itu memberi kepercayaan kepada pemain muda tersebut untuk menjaga benteng terakhir pasukan tersebut sehingga ke akhir musim.
Tetapi malang tidak berbau, menjelang dua perlawanan terakhir liga, Ji-soo dilanda kecederaan buku lali yang menyebabkan beliau terpaksa berehat.
Namun Ji-soo tampak positif dan masih terpilih untuk bermain bersama skuad kebangsaan bagi kejohanan Piala Dunia sehingga banyak mata-mata daripada kelab ternama Eropah yang menagih khidmatnya serta diakui oleh Pengarah Bola Sepak Brentford FC iaitu Phil Giles.
Ji-soo bakal diletakkan bersama skuad Brentford B pada Khamis ini bagi mempersiapkan pemain tersebut untuk berhadapan musim 23/24 yang dijadualkan bermula Ogos depan.