Nilai hak penyiaran Thai League 1 lebih rendah dari Liga Super Malaysia, apa sudah jadi?

2,070

Thai League 1 terus kekal mendominasi sebagai liga terbaik dan berkualiti di Asia Tenggara! Namun liga utama di Thailand itu berdepan masalah dengan hak penyiaran liga apabila nilai yang ditawarkan hanya USD1.4 (RM6.54 juta) berbanding musim lalu yang berjumlah USD41 juta (RM191.5 juta).

Nilai hak penyiaran itu memperlihatkan penurunan yang amat drastik iaitu pengurangan sebanyak 96.5% dan ini membuatkan nilai hak penyiaran liga Thailand lebih rendah berbanding nilai hak penyiaran di Liga Super Malaysia dan Vietnam League.


Hak penyiaran memainkan peranan penting dalam memastikan perlawanan-perlawanan melibatkan liga atau pasukan kebangsaan dapat disiarkan kepada peminat namun lain pula yang jadi kepada bola sepak Thailand yang kini dalam keadaan kucar-kacir dengan isu nilai hak penyiaran ketika saingan liga bakal membuka tirai dalam tempoh sebulan sahaja lagi.

Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Thai League 1 telah mengadakan perbincangan mengenai isu tersebut tetapi sehingga kini masih tiada sebarang keputusan dibuat sekaligus menyaksikan masih belum ada stesen televisyen yang berminat untuk menjadi penyiar rasmi.

Thai League 1 yang mempunyai banyak pasukan gergasi seperti BG Panthum, Buriram United, Port FC dan juga Muang Thong United membuatkan jutaan peminat tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan pasukan kesayangan mereka di kaca televisyen.

Jika isu ini tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini, Thai League 1 akan berdepan masalah yang cukup besar kerana banyak pihak terutamanya kelab akan mengalami kerugian besar apabila tidak akan mendapat wang dari penyiaran.

Bukan itu sahaja, pihak kelab juga akan berdepan masalah penaja menarik diri dari menaja pasukan kerana logo atau jenama mereka tidak akan muncul di televisyen berikutan tiada siaran perlawanan bola sepak.

Diharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana bola sepak di negara itu terus berkembang dengan pesat dan jika masalah hak penyiaran tidak dapat diselesaikan ia akan merencatkan kemeriahan Thai League 1.