Boon Zi Cheng pasang impian untuk sarung jersi Selangor FC satu hari nanti

2,495

Pemain muda negara, Boon Zi Cheng yang kini bermain di Australia bersama North Brisbane FC memasang impian untuk menyarung jersi Selangor FC apabila beliau kembali pulang ke tanah air nanti.

Zi Cheng yang bermain untuk North Brisbane kini beraksi dalam saingan Football Queensland Premier League 3 Metro U23 pada musim ini.


“Belum terfikir lagi sebenarnya tapi jika dapat peluang kalau boleh mahu bermain dengan kelab yang dekat dengan tempat saya iaitu bermain untuk Selangor FC.

Selain Selangor, KL City FC, Perak FC dan Sri Pahang FC juga antara kelab pilihan kerana mereka adalah sebuah kelab yang bagus di Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mungkin ramai yang tidak mengenali Zi Cheng, beliau memulakan karier bola sepaknya dengan bermain untuk SA United FC dalam saingan Liga Perdana FAS.

Beliau kemudian berhijrah ke Australia untuk menyambung pelajaran dan meneruskan minatnya dalam bola sepak apabila bermain untuk Toowong FC untuk tempoh yang singkat sebelum menandatangani kontrak bersama North Brisbane.

Zi Cheng turut meluahkan hasratnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya mendapat peluang untuk diserap ke dalam skuad B-23 kendalian E. Elavarasan.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu saingan liga di Australia sangat kompetitif.

“Bagi saya standard bola sepak di sini sangat tinggi. Kebanyakan pemain yang bermain di divisyen saya majoritinya mempunyai pengalaman dan pemain baru yang datang dari divisyen atas turun bermain di divisyen saya.

Jadi ia sangat mencabar dan di sini budaya berbeza sikit kerana ramai pemain yang suka ‘trash talk’ ketika bermain. Tapi bagi saya bola sepak di sini cukup menarik.”

Sementara itu, Zi Cheng yang bermain di posisi sayap kiri menjadikan Dominic Tan sebagai idola dan memasang impian untuk menjadi pemain muda yang berjaya seperti Mukhairi Ajmal, Safawi Rasid dan Arif Aiman yang menjadi nama besar di Liga Super ketika ini.