Hos Harimau Malaya dipukul oleh penyokong berjaket hitam

7,421

Kehangatan saingan separuh akhir Piala FA membabitkan dua pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC berlangsung dengan cukup meriah sekali dengan pasukan tuan rumah berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun kemeriahan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) tercemar apabila salah seorang pengamal media dari Harimau Malaya iaitu Aur dan jurukamera telah berdepan situasi getir apabila dikepung dan dipukul oleh segerombolan penyokong berjaket hitam.


Aur telah tampil menceritakan insiden yang berlaku di perkarangan stadium itu baru-baru ini.

“Seperti biasa, saya dan rakan sekerja akan membuat temuramah bersama penyokong selepas tamat perlawanan bagi mendapatkan reaksi mereka dan selepas selesai tugasan itu saya dan jurukamera berjalan menuju ke bilik media.

Dalam perjalanan saya disapa oleh dua wanita yang ingin bergambar dan ketika itu sekumpulan penyokong berjaket hitam yang baru keluar dari stadium melontarkan kata-kata kesat tapi ketika itu saya tidak ambil pusing kerana sangka ia bukan ditujukan kepada saya.

Tapi makin lama provokasi itu semakin berterusan dan bila saya senyum mereka mula meninggikan suara dengan berkata, ‘apa senyum-senyum, ingat kami suka kau kat sini, mesti buat cerita bukan-bukan’.

Tak lama kemudian mereka mula menolak saya dan ketika itu saya turut ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi tanpa boleh berbuat apa-apa. Saya cuba berbincang tapi tetap tidak diendahkan,”

katanya.

Menurut Aur, punca yang menyebabkan segerombolan jaket hitam ini tidak berpuas hati adalah mengenai video temubual dengan Brigata 1936 mengenai insiden penyokong futsal Selangor yang dipukul oleh penyokong jaket hitam baru-baru ini.

Tambah Aur lagi, salah seorang penyokong berjaket hitam mengaku dirinya adalah salah seorang marshal ketika insiden di Stadium Tertutup Pasir Gudang mendakwa kenyataan yang dibuat oleh mangsa dalam tembual adalah tidak benar.

“Saya sempat cakap kepada penyokong tersebut meminta kerjasama beliau untuk tampil beri penjelasan mengenai insiden itu tapi dia menolak. Situasi semakin tegang dan saya terus dipukul.”

Jelasnya lagi, insiden tersebut berlaku di hadapan Markaz BOS.

Susulan insiden itu, Aur telah mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pada keesokan hari dan dibawa ke lokasi kejadian untuk siasatan dilakukan.

Aur juga berharap pihak stadium dapat memberi kerjasama dengan memberi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di perkarangan stadium untuk membantu siasatan polis.

Dalam pada itu, Aur yang nyata kesal dengan insiden itu berkata tindakan keterlaluan boleh mencemarkan nama baik kelab dan pemilik yang sudah bekerja dengan cukup keras untuk membawa kelab menjadi salah sebuah pasukan elit di Asia Tenggara.

“Disebabkan oleh beberapa orang ini ia boleh menjejaskan imej JDT sebagai kelab terbaik di Malaysia dan mungkin juga akan menjejaskan imej Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang merupakan individu yang bersusah payah membawa kelab mencapai pelbagai kejayaan.”

Disebalik insiden itu, Aur tidak akan pernah serik untuk kembali bertugas di SSI dan berharap insiden sama tidak akan berulang kepadanya atau pun kepada pengamal media yang lain.

Sementara itu, beliau juga berharap agar Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat memandang serius mengenai insiden yang berlaku, pada masa sama dapat jadikan pengajaran untuk pastikan suasana bola sepak tanah air bebas dari sebarang keganasan dan samseng.