Ranking Harimau Malaya jadi ukuran untuk melangkah jauh di Piala Asia

709

Skuad Harimau Malaya kini sedang berada di landasan yang tepat dalam menyiapkan diri untuk berentap di pentas Asia selepas lebih empat dekad tidak layak secara merit.

Menjelang kejohanan paling berprestij Piala Asia 2023 yang bakal dimulakan pada awal Januari 2024 itu akan menyaksikan pasukan Malaysia akan berentap dalam Kumpulan E bersama gergasi Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.


Skuad kendalian Kim Pan-gon boleh dikatakan sebagai underdog dalam kejohanan kali ini kerana merupakan pasukan paling kerdil dalam kumpulan tersebut jika hendak dibanding dengan pasukan-pasukan lain.

Korea Selatan yang mempunyai Kim Min-jae dan Son Heung-min, manakala Jordan pula memiliki Musa Al-Taamari yang bermain di liga Perancis bersama Montpellier.

Sejak pengendali dari Korea Selatan itu mengambil alih skuad negara, ranking Harimau Malaya terus naik dengan mendadak dan mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang dan tidak keterlaluan jika hendak mahu mengatakan ia adalah yang terbaik setelah sekian lama.

Jika dilihat dari sudut ranking, Malaysia seakan-akan tiada peluang untuk meraih sebarang mata dalam kempen Piala Asia itu nanti namun dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan jika pemain terus mempamerkan prestasi terbaik, tidak mustahil mereka mampu lakukan kejutan.

Malaysia kini berada di tangga keempat antara pasukan Asia Tenggara dan hanya empat mata dibelakang pasukan Filipina selain jika dilihat pula dalam ranking keseluruhan, Malaysia dengan empat kemenangan bersih dalam perlawanan persahabatan sebelum ini menjadikan kita berada di tangga ke-137.

Manakala Korea Selatan yang baru sahaja selesai menyertai Piala Dunia 2022 hujung tahun lalu terkandas di pusingan ke-16 terkini menduduki ranking ke-27 dunia, selain Jordan yang menang dalam perlawanan persahabatan terakhirnya menentang Jamaica kini berada di tangga ke-82 dan Bahrain yang berada empat tangga dibelakang Jordan.

Bercerita mengenai corak permainan skuad negara ketika ini nyata jauh berbeza jika hendak dibandingkan dahulu.

Dengan sentuhan Pan-gon, peminat kini seperti mendapat ‘talian hayat’ baru dan harapan untuk melihat pasukan kesayangan berjaya semakin menggunung.

Hari gelap bola sepak tanah air pernah hadir pada tahun 2018 apabila skuad negara yang dikendalikan oleh Dollah Salleh ketika itu dibelasah United Arab Emirates (UAE) 10-0.

Namun baru-baru ini anak buah Pan-gon berjaya mempamerkan aksi yang cukup cemerlang apabila berjaya memperoleh keputusan besar selepas menewaskan Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Zainal Abidin, Terengganu.

Tempoh enam bulan ini adalah sangat penting buat Pan-gon dan anak-anak buahnya untuk membuat persiapan rapi bagi memastikan mereka ke Doha, Qatar dalam tahap terbaik bagi memastikan sasaran untuk bawa pulang mata dapat direalisasikan.