Pindaan statut menyaksikan semua jawatan untuk tiga penggal sahaja – Yusoff Mahadi
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengadakan Kongres Tahunan FAM ke-59 yang menyaksikan mereka telah bersetuju dengan pindaan status di mana seseorang hanya boleh memegang jawatan untuk tempoh tiga penggal sahaja.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi dalam satu sidang media selepas tamat kongres yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota.
“Dalam pindaan status ini, semua pemegang jawatan hanya untuk tiga penggal sahaja, samada secara berturut-turut atau secara ‘lapse’, tapi hanya untuk tiga penggal sahaja dan tak boleh lebih,”
katanya.
Yusoff Mahadi turut memberitahu bahawa untuk jawatan presiden pula, setiap calon perlu menang dua per tiga dari undian.
“Untuk presiden lain sedikit, calon perlu menang dua per tiga atau ada dua calon perlu 50+1. Jika tiga calon perlu dua per tiga dan kalau tak dapat kita akan buat semula undian.
Untuk jawatan lain ikut jumlah undian yang paling banyak.”
Dalam pada itu, pindaan status juga akan menyaksikan perubahan yang mana sebelum ini dua perwakilan dari setiap persatuan bola sepak negeri dibenarkan undi kini dipinda di mana hanya satu perwakilan sahaja dibenarkan mengundi.
Beliau berkata pindaan tersebut dibuat selaras dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Sementara itu, dalam majlis tersebut turut menyaksikan berlangsungnya majlis perjanjian lanjutan kerjasama FAM dengan Malaysia Aviation Group Berhad (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB).
Perjanjian lanjutan itu menyaksikan kedua-dua pihak akan menjalin kerjasama selama tiga tahun lagi iaitu bermula Januari 2024 hingga Disember 2026.