Di Selangor FC kita ada ramai pemain berkualiti, jadi mereka perlu bersaing untuk dapatkan tempat – Tan Cheng Hoe
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menafikan pemain muda V. Ruventhiran tidak mencapai standard pasukan apabila beliau jarang diturunkan dalam saingan Liga Super dan Piala FA baru-baru ini.
Menurut Cheng Hoe, Selangor mempunyai ramai pemain berkualiti, oleh itu setiap pemain perlu bersaing untuk dapatkan tempat dalam pasukan.
“Saya sebagai jurulatih tidak menganggap mereka tidak mencapai standard kerana yang penting adalah jika kita lihat dari 13 perlawanan liga dan tiga perlawanan Piala FA mereka masih lagi mencari keserasian.
Kita juga tahu di Selangor mempunyai pemain-pemain yang berkualiti dan berpengalaman di setiap posisi, jadi mereka perlu bersaing untuk dapatkan tempat dalam pasukan,”
katanya.
Tambahnya lagi, beliau juga menuntut setiap pemain-pemainnya untuk bekerja dengan lebih keras lagi supaya dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap.
Dalam pada itu, Cheng Hoe juga menjawab mengenai keputusan untuk membawa masuk penyerang baru iaitu Richmond Boakye-Yiadom walaupun ramai peminat yang mahukan Gergasi Merah memperkuat barisan pertahanan.
“Kita bawa penyerang baru yang berkualiti untuk memberi kita pilihan di bahagian serangan dan saya juga tahu ramai yang tidak berpuas hati tentang bahagian pertahanan kita, tetapi kita tahu juga kita kena perbaiki dari segi kesilapan individu dari dibolosi gol.
Kita juga akan melihat samada kita perlu bawa masuk pemain pertahanan import baru atau sebaliknya.”
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai kehadiran bekas pemain Juventus itu, pengendali berusia 55 tahun itu berkata beliau dan barisan kejurulatihan akan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum buat keputusan samada akan menurunkan pemain itu pada perlawanan menentang Sri Pahang FC pada 9 Julai atau tidak.
Ini kerana pemain yang pernah menjaringkan gol ketika menentang gergasi Real Madrid itu tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang Kuching City FC pada 3 Julai ini kerana jendela perpindahan kedua hanya akan dibuka bermula 5 Julai ini.
Selangor kini berada di kedudukan kedua Liga Super selepas 14 perlawanan dan dijangka akan terus memberi saingan kepada pendahulu liga Johor Darul Ta’zim.