Punya potensi besar di Sukan Olimpik jadi faktor utama hoki dimasukkan dalam RTG – Nazifuddin Najib
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib memberitahu menjelaskan bahawa kemasukan sukan hoki dalam program Road to Gold (RTG) adalah kerana mereka mempunyai potensi yang cukup besar untuk sumbang pingat di Sukan Olimpik 2024, Paris.
“Penyertaan hoki dalam RTG adalah harapan yang besar untuk kita lihat kontinjen Malaysia menjadi kontinjen besar di Olimpik.
Selalunya kontinjen kita 20 lebih tapi dengan hoki jika mereka masuk final kita boleh mempunyai lebih 50 dan ia adalah satu kategori yang besar, one step above daripada yang kebiasaan.
Jadi kelebihan dan fasiliti akan bertambah yang mana ia akan membantu atlet itu. Itulah salah satu faktor yang dipertimbangkan untuk masukkan hoki,”
katanya.
Tambahnya lagi, beliau berkata pihaknya menyedari kemasukan hoki adalah kekangan yang besar tapi beliau percaya ia akan memberi impak kepada semua atlet.
Selain itu, walaupun ramai yang merasakan peluang untuk skuad hoki negara membawa pulang pingat emas tipis, namun skuad hoki negara menepati kriteria utama iaitu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Dalam pada itu, Nazifuddin juga tidak dapat mengulas lanjut mengenai kemasukan pelari pecut negara Azeem Fahmi dalam program RTG kerana perkara itu masih belum diputuskan.
“Nak masukkan Azeem Fahmi dalam RTG? Itu tertakluk kepada keputusan jawatankuasa RTG.”
Terdahulu, Azeem yang kini berkelana ke Amerika Syarikat untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Auburn telah mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang dalam beberapa kejohanan sebelum ini.