Harimau Malaya terus mengaum gagah! Terima kasih Bapa bola sepak moden Malaysia
Sejak dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 14 Julai 2018, telah menyaksikan Datuk Hamidin Mohd Amin berjaya mengubah landskap bola sepak tanah air.
Sepanjang tempoh lima tahun memegang jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu digalas dengan cukup komited apabila melakukan pelbagai usaha untuk mengembalikan kegemilangan Harimau Malaya di persada antarabangsa terutamanya di rantau Asia.
Tak kenal erti penat dan lelah, kerja keras selama lima tahun telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan seluruh peminat bola sepak negara.
Ketika Hamidin memegang jawatan sebagai presiden, pasukan bola sepak kebangsaan berada dalam keadaan yang parah apabila berada di kedudukan ranking ke-171 pada Jun 2018.
Namun pelbagai perubahan yang dilakukan termasuk melantik ketua jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon telah menyaksikan prestasi skuad negara naik dengan cukup drastik apabila kini berada di kedudukan ke-137 dunia atau lebih tepat lagi kenaikan sebanyak 34 anak tangga.
Kedudukan ranking semasa ketika ini menyaksikan Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai matlamat berada dalam kelompok 70 pasukan di dunia menjelang 2030.
Dalam era kepimpinan Hamidin juga menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau 42 tahun untuk layak ke kejohanan paling berprestij di Asia iaitu Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024 di Doha, Qatar.
Ia merupakan satu kejayaan yang cukup besar buat bola sepak tanah air dan Hamidin selepas kegagalan yang dihadapinya pada awal kepimpinannya termasuk berdepan situasi getir apabila negara dilanda pandemik COVID-19 yang menyaksikan sukan bola sepak terpaksa dihentikan hampir dua tahun dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Untuk tahun 2023, skuad negara terus mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang apabila tujuh perlawanan yang diharungi dalam pelbagai kejohanan termasuk persahabatan menyaksikan mereka hanya tewas sekali sahaja kepada Thailand pada separuh akhir kedua Piala AFF.
Baru-baru ini skuad negara turut meraih keputusan cukup cemerlang apabila membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1.
Dalam pada itu, komitmen tinggi yang dipamerkan oleh Hamidin tidak sahaja mendapat pengiktirafan di peringkat nasional, tetapi juga di peringkat antarabangsa apabila beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tempoh 2023-2027 sekaligus memberi petanda jelas bola sepak Malaysia berada diterajui oleh individu yang tepat.
Menjadi Ahli Majlis FIFA bukan semudah yang disangka kerana seseorang itu perlu membuktikan keupayaan pengurusan dan kualiti kepimpinan dan diharap dengan pelantikan beliau dalam badan induk bola sepak dunia itu dapat memberi manfaat buat bola sepak tanah air.
Kredibiliti kepimpinan Hamidin sebagai presiden FAM selama dua penggal mendapat perhatian banyak pihak termasuk Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) apabila Menteri-nya YB Hannah Yeoh mengumumkan pelantikan Hamidin sebagai Chef de Mission (CDM) negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Bukan itu sahaja, beliau juga dilantik sebagai anggota dalam pasukan program ‘Road to Gold’.
Bersempena dengan tahun kelima kepimpinan Hamidin sebagai presiden FAM, diharap beliau akan terus kuat dan bersemangat untuk membawa bola sepak negara ke tahap tertinggi dan menjadi salah sebuah pasukan gergasi di Asia satu hari nanti.
Terima kasih Bapa bola sepak moden Malaysia!