Nurshamil Abd Ghani dedah diminta bayar RM50,000 jika mahu tamatkan kontrak
Semua sedia maklum dengan situasi semasa kelab Kelantan FC yang berdepan dengan isu tunggakan gaji yang masih belum selesai sehingga semakin banyak pemain mula ‘cabut lari’ dek tidak tahan.
Beberapa pemain sudah pun menamatkan kontrak bersama Kelantan dan kini seorang lagi pemain iaitu penyerang Nurshamil Abd Ghani juga mengambil tindakan sama apabila mengambil keputusan untuk keluar dari kelab itu supaya dapat cari kelab baru pada jendela perpindahan kedua bermula 5 Julai ini.
Namun sebaliknya berlaku apabila perbincangan untuk mendapatkan persetujuan di antara kedua-dua pihak iaitu pemain dan kelab tidak mencapai persetujuan apabila Nurshamil mendedahkan pihak kelab meminta RM50,000.
“Serius la RM50k kau mintak?? Ni bukan persetujuan bersama. Ni persetujuan untuk kau (kelab) je. Mintak keluar cara baik pun ni juga dapat,”
tulisnya di Instagram.
Nurshamil pada masa sama turut mendedahkan beberapa perkara lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar, tiada bonus naik ke Liga Super dan juga tiada bonus perlawanan.
Terdahulu, pemain berusia 28 tahun itu menjadi perhatian apabila tampil dalam siaran TikTok secara langsung bersama beberapa rakan sepasukan dengan terbuka memberitahu dirinya sudah tiada hati untuk bermain dengan kelab dari Pantai Timur itu.
Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini juga telah mengumumkan bahawa The Red Warrior telah dikenakan sekatan perpindahan pemain berikutan isu tunggakan gaji.
Susulan itu, pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman dalam satu kenyataan ringkas di Facebook memberitahu bahawa beliau akan menyelesaikan segala tunggakan dalam masa terdekat supaya tindakan sekatan pemain dapat diangkat.
Sementara itu, difahamkan mana-mana pemain mempunyai hak untuk membatalkan kontrak mereka sekiranya tidak menerima gaji lebih dua bulan.
Diharap pemain akan lebih peka mengenai perkara ini dan boleh rujuk kepada MFL atau pun Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) bagi memastikan hak mereka terbela dan tidak ditindas.