Ajar pemain teknik pertolongan cemas supaya boleh selamatkan nyawa di atas padang
Dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan mengenai pertolongan cemas dalam kalangan pemain dan pegawai bola sepak, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bekerjasama dengan Majlis Resusitasi Eropah (ERC) bagi melatih lebih 12,000 individu mengenai Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).
Antara pihak yang telah menerima latihan tersebut adalah empat pasukan yang layak ke separuh akhir kejohanan EURO B-21 baru-baru ini.
Ini adalah satu inisiatif yang amat baik daripada pihak UEFA dalam memastikan semua orang yang berada di atas padang mampu memberikan pertolongan cemas dalam apa jua situasi.
Sudah banyak insiden di seluruh dunia yang berlaku di mana para pemain sendiri yang memberi bantuan kecemasan kepada pemain lain di atas padang seperti yang berlaku kepada Fernando Torres.
Tambahan pula, ilmu seperti itu mampu menyelamatkan nyawa pemain kerana jika mahu menunggu pasukan medik masuk ke padang, mungkin beberapa saat masa yang diambil boleh memisahkan antara hidup dan mati.
Usaha seperti ini juga sepatutnya dicontohi oleh Malaysia supaya para pemain tempatan juga turut memiliki kemahiran pertolongan cemas.
Mungkin pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Malaysian Football League (MFL) boleh menganjurkan kursus seperti yang dilakukan oleh UEFA, bukan sahaja melibatkan CPR tetapi bantuan kecemasan lain.
Sebagai contoh, pada musim ini saja terdapat beberapa insiden kecemasan sehingga memaksa pemain dikejarkan ke hospital dengan ambulans, seperti yang berlaku kepada dua penjaga gol, Izham Tarmizi dan Sikh Izhan.
Walaupun kedua-dua pemain itu tidak mengalami kecederaan yang amat serius, tetapi pertolongan cemas adalah amat penting dalam kedua-dua insiden seperti itu kerana ia melibatkan kepala.
Teknik pertolongan cemas yang betul perlu diajar kepada pemain dan pegawai di liga tempatan supaya apabila berdepan dengan insiden seperti itu pada masa hadapan, sesiapa sahaja boleh memberikan bantuan awal.