Isu bayaran RM50,000 baru keluar, giliran Nuha Marong undur diri dari Kelantan FC
Nuha Marong bagai mengorbankan dirinya bagi menjaga air muka pasukan Kelantan FC apabila memilih untuk mengundurkan diri dengan persetujuan bersama daripada kelab tersebut baru-baru ini.
Pemain asal Gambia itu sudah beraksi sebanyak enam perlawanan bersama Kelantan sejak awal musim lalu seakan-akan tidak merelakkan diri untuk pergi namun disebabkan atas faktor pengurusan dan masalah dalaman beliau terpaksa mengambil keputusan tersebut.
Baru-baru ini juga, muncul perkongsian yang dibuat oleh pemain kelab itu, iaitu Nurshamil Abd Ghani apabila diminta untuk membayar RM50 ribu sebelum keluar daripada kelab tersebut meskipun asalnya ia adalah atas persetujuan bersama.
Tambahan pula, para pemain diletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) oleh pemilik kelab tersebut iaitu Zamsaham bagi setiap perlawanan untuk memastikan gaji mereka dilunaskan namun dengan prestasi yang ditonjolkan Kelantan dalam tempoh 14 perlawanan sebelum ini mereka hanya mampu meraih satu kemenangan dan menyebabkan gaji mereka disekat.
Jika diikutkan logik, perkara ini adalah sememangnya tidak masuk akal langsung kerana bagaimana para pemain yang disekat gajinya boleh membayar sejumlah wang yang sebegitu besar.
Selain itu, menurut peraturan yang telah ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam artikel berkenaan gaji iaitu pemain yang tidak diberikan gaji dalam tempoh dua bulan mereka berhak untuk menamatkan kontrak atas alasan yang munasabah dan perkara ini boleh diguna pakai dalam kes pemain-pemain Kelantan.
Dalam pada itu juga ramai bekas pemain turut meluahkan perasaan mereka yang terpendam semasa berada di kelab tersebut, dan tidak lain dan tidak bukan semestinya berbica berkenaan gaji serta pengurusan yang tidak sistematik.
The Red Warriors (TRW) kini ibarat sudah retak menanti belah apabila saban hari ada sahaja pemain yang berundur daripada beraksi buat kelab itu sehinggakan beberapa hari sebelum pusingan kedua Liga Super bermula juga, wujud gambar-gambar sesi latihan yang dikongsi menampilkan hanya beberapa pemain yang turun.
Kelantan yang tidak putus-putus dengan konflik dalaman dan isu tunggakkan gaji kini satu persatu awang import yang menjadi tonggak utama mereka keluar dari kelab dan kebanyakkannya adalah atas persetujuan bersama pemilik kelab.
Pasukan itu tampil karam di dasar liga apabila tumpas dalam 12 daripada 14 perlawanan yang dimainkan dan sehingga kini digembar-gemburkan berkenaan penstrukturan semula pasukan tersebut akan berlaku, diharapkan perkara ini dapat diselesaikan segera.