Memang ramai penyokong yang mahu kita menang, saya kurang berpuas hati malam ini – Tan Cheng Hoe

982

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe lega selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC dalam saingan Liga Super sebentar tadi.

Beliau mengakui kurang berpuas hati dengan persembahan pasukan selepas Kuching City beberapa kali berpeluang untuk mencuri satu mata.


“Kemenangan ini dapat beri kita satu keyakinan kerana memang sebelum perlawanan ramai penyokong yang mahu kita catatkan kemenangan.

Selepas kita mendahului dua gol, kita agak selesa dan tidak dapat kawal perlawanan tetapi apa yang penting kita dapat tiga mata untuk kita kekalkan kedudukan yang baik dalam liga,”

katanya.

Cheng Hoe berkata, cabaran di pusingan kedua adalah lebih mencabar memandangkan kebanyakan pasukan akan memperkuatkan skuad ketika jendela pendaftaran kedua pemain ini.

Dalam pada itu, beliau masih tidak pasti sama ada penyerang baharu, Richmond Boakye akan dapat diturunkan pada perlawanan menentang Sri Pahang Ahad ini.

“Kita akan lihat situasi beliau sama ada sudah bersedia atau tidak untuk perlawanan akan datang kerana bukan mudah untuk mana-mana pemain terus bermain selepas beberapa sesi latihan.

Lagipun kita tandatangan beliau untuk jangka masa panjang tetapi jika beliau dapat diturunkan menentang Sri Pahang ia perkara yang baik untuk kami.”

Cheng Hoe berkata, Selangor tidak boleh lagi keciciran mata selepas ini jika ingin terus berada di kelompok teratas Liga Super.