Pemain wanita kena kerja untuk cari makan dan juga bermain bola, lebih sukar untuk mereka -Cameron Ng
Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita B-19 tahun negara, Cameron Ng mendedahkan faktor sebenarnya mengapa sukan bola dalam kalangan wanita susah untuk berkembang.
Skuad Malayan Tigress B-19 yang ditemui hari ini akan ke Palembang, Indonesia bagi mengikuti saingan Piala AFF B-19 yang bakal menempatkan skuad wanita negara dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan juga Singapura
Cameron menyifatkan bahawa tidak sepatutnya ada stigma atau pandangan serong dari sesetengah pihak berkenaan wanita yang bermain bola sepak kerana ia sama seperti sukan lain.
“Ya betul, secara tradisionalnya bola sepak lebih dikenali dalam kalangan lelaki, tetapi seperti yang kita lihat bola sepak wanita sekarang sudah berkembang dengan pesat.
Kita kena ingat bola sepak ini adalah sukan, sama macam badminton dan bola keranjang jadi saya tak faham kenapa wujud stigma wanita tidak boleh bermain bola. Tetapi sekarang dah semakin baik, banyak ibu bapa dan orang sekeliling mula terima
katanya.
Cameron ketika ditemubual mengulas serba sedikit berkenaan Liga Bola Sepak Wanita yang bakal berlangsung tidak lama lagi selain menjelaskan kesukaran yang dialami oleh pemain-pemain wanita negara.
Menurutnya, para pemain bola sepak wanita sukar untuk meningkatkan prestasi disebabkan tiadanya perlawanan kompetitif secara kerap dilangsungkan selain kekurangan masa menyebabkan mereka terpaksa melakukan dua atau lebih kerja dalam satu masa.
“Salah satu cabaran yang kita hadapi, kebanyakan pemain wanita tidak ada perlawanan kompetitif. Jadi apabila kita bandingkan dengan lelaki mereka bermain secara kerap dengan adanya perlawanan liga, kalau wanita ini mereka kerja, selepas kerja mereka kena masuk kem, kadang-kadang saya fikir lagi susah untuk wanita sebab mereka perlu buat dua kerja dalam satu masa, mereka kena kerja untuk cari makan dan juga bermain bola.
Jadi perkara ini tak ramai yang tahu bertapa susahnya para pemain wanita ini untuk bermain. Dengan kehadiran liga wanita dan perlawanan kompetitif yang disediakan diharapkan boleh lihat mereka bermain secara konsisten, meningkatkan kebolehan mereka sekaligus memperbanyakkan lagi pemain yang bakal dilahirkan.”
Malayan Tigress dibarisi 23 pemain muda negara bakal bermain menentang Singapura pada perlawanan pertama dan diharapkan dengan barisan pemain muda ini dapat menumpaskan Singapura sekaligus melayakkan diri terus ke separuh akhir.