Mecca Rania dan Nur Amirah positif menentang Vietnam, Malayan Tigress sasar ke Separuh Akhir

164

Dua pemain Malayan Tigress B-19, Mecca Rania dan Nur Amirah yang menjadi sandaran untuk menggerakkan pasukan, mengejar sasaran untuk maju ke peringkat separuh akhir di kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023 di Palembang, Indonesia yang bakal membuka tirai pada 5 Julai ini.

Mecca dan Amirah yang kini masing-masing berumur 18 dan 19 tahun itu memberitahu bahawa mereka sangat komited untuk layak ke separuh akhir dengan mengalahkan Singapura semasa perlawanan pertama sebagai langkah permulaan.


Amirah semasa ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi berkata satu lagi pasukan iaitu Vietnam boleh dikatakan sebagai kuasa besar dalam komuniti bola sepak wanita di Asia Tenggara dengan penampilan di Piala Dunia dan Piala Asia.

“Vietnamkan pasukan yang dah bertanding di peringkat Piala Dunia, jadi baguslah kalau kami jumpa pasukan ini, sekurang-kurangnya kami dapat tambah baik kualiti permainan kami, ia sesuatu yang bagus untuk kami!”

katanya.

Dalam pada itu, Mecca tampak semakin matang apabila berkongsi sasarannya yang agak berbeza untuk pertandingan kali ini berbanding sebelum-sebelum ini.

“Kalau kata sasaran, untuk pertandingan kali ini saya lebih kepada mahukan pasukan ini mara ke separuh akhir, berbanding sebelum ini saya lebih memikirkan untuk menjaringkan gol, menang perlawanan dan statistik.”

Kedua-dua pemain muda ini turut berkongsi keyakinan mereka untuk berhadapan pasukan-pasukan lain memandangkan ini adalah pertandingan B-19 tahun sedangkan rata-rata pemain dalam skuad Malayan Tigress itu masih berumur 17 tahun.

“Untuk pertandingan yang mendatang ini kami sangat yakin tapi tidaklah yakin melampau, yakin dengan persiapan ini dan kami akan lakukan yang terbaik.

Kami juga tetapkan sasaran yang realistik iaitu menang dengan Singapura dan cuba untuk seri dengan Vietnam, itu adalah sasaran kami di kejohanan ini.”

Untuk rekod, Amirah merupakan pemain kelahiran Kedah dan bermain di posisi pertahanan manakala Mecca yang berasal daripada Selangor pula bermain sebagai pemain tengah dalam skuad Malayan Tigress B-19 ini.