Saya rasa Zamsaham anggap ini sebagai bisnes, orang di sekelilingnya pula hanya jadi pak turut – Jack Hindle
Bekas pemain Kelantan FC, Jack Hindle kesal dengan kemelut yang berlaku kepada pasukan itu ketika ini dan kesian dengan nasib bekas-bekas rakan sepasukannya.
Beliau berkata, pemilik kelab itu, Zamsaham seakan-akan menjadikan kelab itu seperti sebuah perniagaan, dan banyak benda yang berlaku seperti meminta wang pampasan untuk keluar daripada kelab itu adalah tidak logic.
“Ada satu dinamik yang pelik dengan Zamsaham ini di mana saya rasa beliau anggap ini seperti bisnes, katakan beliau sudah bayar RM20,000 untuk anda kemudian apabila anda ingin keluar anda berhutang jumlah yang sama dengannya.
Saya tak tahu masalahnya tetapi orang-orang di sekelilingnya yang membantu beliau hanya akan berkata ya sahaja (seperti pak turut),”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tegasnya, ia adalah perkara yang menyedihkan kerana berdasarkan pemain yang masuk ke kelab itu, Kelantan sepatutnya berada di kedudukan yang jauh lebih baik tetapi isu di luar padang yang mengganggu para pemain.
Pemain yang kini beraksi di Australia bersama Peninsula Power FC itu turut berkongsi pengalamannya ketika di kelab itu di mana pihak pengurusan tidak cakna akan kebajikan pemain ketika dalam perjalanan untuk bertandang ke gelanggang lawan.
“Kami perlu bergerak jauh selama berjam-jam untuk ke perlawanan away tanpa makanan, ada satu ketika salah seorang pihak pengurusan bawa kami makan KFC pada malam sebelum perlawanan dan sudah tentu saya tidak gembira.
Kami terpaksa makan KFC sedangkan pasukan lain yang sama taraf dengan kami seperti Sabah, Kedah dan KL City mereka uruskan pasukan dengan baik,”
Pemain itu mengakui, pada tahun 2022, Zamsaham pernah menawarkan beliau untuk kembali ke Kelantan, tetapi beliau berkata hanya akan kembali sekiranya ia dilakukan dengan betul.
Tambahnya, beliau kesian dengan para penyokong yang terpaksa menghadap isu ini sejak sekian lama.