Saya faham kenapa penyokong Selangor kecam saya, mereka dah lama nantikan kejuaraan – Herlison Caion

467

Bekas pemain Selangor FC, Herlison Caion sedar akan sebilangan penyokong yang tidak berpuas hati dengan prestasi dirinya ketika mengetuai jentera serangan kelab itu.

Beliau faham penyokong Selangor sudah dahagakan kejayaan menjulang trofi, jadi apabila beliau dan rakan-rakan tidak berjaya menghadiahkan mereka kejuaraan, ada sebilangan yang mengecam dirinya.


“Saya faham sebilangan penyokong Selangor nak jadi juara kerana dah banyak tahun kelab tidak berjaya mengecap kejuaraan, jadi mereka mahukan kejayaan.

Apabila saya tiba bersama pemain-pemain import lain dan tidak berjaya mendapatkan trofi sudah tentu mereka akan cakap buruk, dan mereka mempersoalkan saya tak dapat jadi penjaring terbanyak tetapi saya tahu apa yang saya telah lakukan di Selangor,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Caion berkata beliau sudah melakukan sebaik mungkin di Selangor dan menganggap beliau telah beraksi dengan baik selama satu musim di kelab itu.

Beliau yang kini beraksi bersama kelab Vietnam iaitu Hanoi FC berkata, prestasi Selangor pada musim ini begitu baik dan beliau berharap mereka dapat menunjukkan peningkatan lagi.

“Saya harap mereka berjaya pada tahun ini, mereka sekarang di kedudukan kedua dan saya harap mereka akan terus meningkat.

Saya suka dan rindukan Selangor, saya ada ramai rakan yang baik di sana dan saya telah beraksi dengan baik.”

Untuk rekod, Caion mencatatkan 33 penampilan bersama Selangor, merekodkan 24 gol dan 7 bantuan gol.