Saya keluar dari KL City FC bukan disebabkan masalah gaji, tetapi tertarik dengan projek Hanoi FC – Herlison Caion
Bekas penyerang KL City FC, Herlison Caion menafikan bahawa dirinya berpindah daripada kelab itu ke kelab Vietnam, Hanoi FC disebabkan terdapat masalah gaji yang berlaku atau menginginkan gaji yang lebih besar.
Katanya, beliau tertarik dengan projek pasukan Hanoi dan prospek bermain di saingan tertinggi dalam bola sepak Asia iaitu AFC Champions League (ACL).
“Saya keluar bukanlah disebabkan masalah gaji, tetapi saya ada tertarik dengan tawaran Hanoi dan mereka juga bermain dalam saingan ACL, selain menjadi pencabar dalam saingan liga, hanya dua mata dipisahkan dari pendahulu ketika ini.
Saya boleh saja kekal di KL City saya ada ramai kawan di sana, walaupun saya tak dapat banyak minit permainan ia adalah perkara biasa dalam bola sepak, tetapi punca utama saya ke Hanoi adalah disebabkan itu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Caion berkata, beliau menghormati pilihan ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak yang lebih gemar menurunkan Tchetche Kipre dan Romel Morales berbanding dirinya.
Tambahnya, kedua-dua pemain itu juga bermain dengan baik dan sememangnya layak dipilih untuk diturunkan.
“Saya datang ke KL City untuk bermain tetapi Tchetche dan Romel juga beraksi dengan baik jadi saya kena hormati pilihan jurulatih, tetapi sudah tentu saya mahu bermain selalu.”
Beliau menyifatkan, perbezaan antara Liga Vietnam dan Liga Malaysia adalah di sana lebih mencabar dari segi fizikal manakala di Malaysia lebih taktikal.
Caion yang kini berusia 32 tahun berharap dapat beraksi sehingga lima tahun lagi sebelum bersara.