Kes terbaru FIFA mungkin hanya satu permulaan, DS Vida dan Erfan Akif masih berani ambil alih Kelantan FC?
Empayar Beauty DS Vida dan Erfan Gym & Fitness merupakan antara dua entiti perniagaan yang dilaporkan berminat untuk mengambil alih Kelantan FC yang sedang dilanda kemelut ketika ini.
Namun dengan isu terbaru melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam kes bekas jurulatih Choi Moon-sik, adakah mereka bersedia untuk menanggung kelab yang dibelenggu dengan ‘masalah’ ini?
Baru-baru ini pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham memuatnaik tawaran pengambil alihan kelab daripada dua individu iaitu Datuk Seri Vida dan Erfan Akif Ruslan akan tetapi ia masih lagi di peringkat perbincangan awal.
Vida sebelum ini pernah menjadi penaja buat TRW pada tahun 2016 dengan nilai tajaannya mencecah RM16 juta bagi membantu pasukan asal Pantai Timur itu dari segi kewangan, selain memberikan beberapa terma yang dimahukan untuk mempromosikan produknya ketika itu yang dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh.
Erfan Akif Roslan pula adalah pemilik gim di Kota Bharu, Kelantan selain menjadi salah satu penaja untuk Kelantan musim ini
Sebelum mengambil alih pasukan itu, Vida dan Erfan seharusnya memikirkan dengan teliti berkenaan perkara ini, disebabkan apabila sudah menandatangani sahaja surat persetujuan peralihan kuasa ini, bukan sahaja aset kelab yang berubah milik, tetapi segala hutang dan masalah yang ada juga akan menjadi tanggungjawab.
Perlu diingatkan juga bahawa Kelantan yang sekarang bukanlah seperti yang dikenali suatu masa dahulu semasa era kegemilangannya, akan tetapi kini penuh dengan masalah dalaman sehinggakan sukar untuk meraih kepercayaan pemain sendiri dan ramai yang mengangkat kaki daripada kelab tersebut.
Segala ini bermula dengan kes pemecatan Choi Moon-sik daripada menjadi jurulatih TRW musim ini disebabkan tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Zamsaham selepas beberapa siri kekalahan sejak awal musim.
Namun, ejen kepada jurulatih asal Korea Selatan iaitu Leo Jeong telah mendedahkan beberapa masalah yang dihadapi oleh kelab tersebut antaranya adalah penglibatan Zamsaham dalam pemilihan pemain bagi setiap perlawanan sekaligus Moon-sik ibarat hilang kuasa sebagai jurulatih.
Selain itu, Leo Jeong juga memberitahu pemain dan jurulatih dibawah seliaannya itu juga diseksa dari segi mental akibat tomahan dan makian yang dilemparkan oleh pemilik kelab tersebut akibat prestasi yang tidak meningkat.
Sehubungan itu, segala perilaku tersebut direkodkan oleh Leo Jeong dan telah dibawa ke pengadilan FIFA beberapa bulan terdahulu mendakwa Zamsaham.
Dalam kongsian terbaharu Leo Jeong di laman sosial Instagramnya turut menunjukkan surat rasmi daripada FIFA mengenai kemenangan Moon-sik atas dakwaanya kepada pemilik Kelantan itu, sekaligus menambahkan lagi reputasi buruk yang perlu dipikul oleh pemilik baharu kelab itu.
Selepas daripada kes pemecatan Moon-sik, semakin ramai bekas pemain dan pemain yang sedia ada berani untuk membuka mulut berkenaan isu-isu dalaman seperti sikap sebenar Zamsaham dan tunggakkan gaji yang agak lama.
Meskipun kini Zamsaham telah memberitahu bahawa tiada lagi sekatan untuk membawa masuk pemain-pemain baharu bagi jendela perpindahan kedua musim ini kerana telah menyelesaikan segala hutang gaji dengan pemainnya sebelum ini namun ia tidak bermakna segala masalah ini harus dilupakan.
Oleh yang demikian, penelitian dan pengiraan yang tepat perlu dibuat oleh DS Vida dan Erfan Akif bagi menstabilkan semula kewangan kelab tersebut sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan yang diimpikan oleh para peminat mereka.