Nurshamil menghadap PFAM, rasanya isu gaji Kelantan FC sebenarnya masih belum selesai

614

Giliran Nurshamil Abd Ghani pula tampil ke Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk memanjangkan isu yang berlaku pada dirinya iaitu permintaan RM50 ribu untuk memutuskan kontrak atas persetujuan bersama pemilik kelab iaitu Zamsaham.

Sebelum ini Zamsaham memberi tahu bahawa tiada lagi sekatan perpindahan yang dikenakan ke atas pasukannya itu disebabkan sudah melunaskan semua hutang gaji pemain yang dituntut oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)


Namun dengan kehadiran Nurshamil di PFAM ini, ia seolah-olah menandakan isu tunggakan gaji dalam skuad The Red Warriors (TRW) masih lagi belum selesai.

Sebelum ini juga beberapa pemain yang ditahan gaji oleh kelab tersebut telah datang ke PFAM bagi meminta bantuan dalam meraih semula hak dan gaji mereka yang sepatutnya dibayar dalam tempoh sepanjang mereka bermain di sana.

Antaranya adalah Farhan Abu Bakar dan Afzar Akbar yang memanjangkan isu kelewatan proses pembayaran gaji serta memotong gaji para pemain sebanyak 50 peratus akibat daripada prestasi yang tidak memberansangkan dengan hanya satu kemenangan dalam 12 perlawanan ketika itu.

Namun hal-hal yang melibatkan kedua pemain ini masih lagi belum dapat diselesaikan oleh PFAM atas sebab masih banyak aduan sebelum ini yang melibatkan pasukan-pasukan liga tanah air seperti contoh pemain-pemain Sarawak United dan Melaka United.

Sarawak United yang kini bermain di Liga M3 masih bergelut untuk menyelesaikan tuntutan gaji pemain sejak tahun lepas lagi selain menerima hukuman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) disebabkan gagal mematuhi obligasi kewangan yang ditetapkan bagi kes tunggakan gaji melibatkan bekas pemain mereka iaitu Sandro Da Silva sebanyak RM150 ribu.

Manakala Melaka United telah dimansuhkan sejak tahun lalu disebabkan mempunyai masalah sama iaitu tunggakkan gaji yang dikira-kira dalam jumlah RM3 juta selain tidak dapat memperolehi lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super.

Menurut PFAM, sebelum ini kes kedua-dua pasukan masih lagi dalam tindakan perbicaraan mahkamah bagi mendapatkan keputusan yang adil, selain memberitahu akan ada tempoh yang bakal ditetapkan bagi pembayaran semula gaji-gaji yang tertunggak.

PFAM turut memberitahu akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik sekaligus menyelesaikan masalah tunggakkan gaji para bekas pemain yang pernah bermain buat kelab-kelab tersebut.

Oleh yang demikian, perlu juga diingatkan bahawa setiap aduan yang dipanjangkan kepada badan induk itu akan melalui proses melibatkan undang-undang dan semestinya bakal mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana perlu berunding berkali-kali dan merujuk dengan mahkamah bagi mendapatkan keputusan yang tepat.

Untuk rekod, sebelum ini sejumlah 20 orang pemain Kelantan telah membuat aduan kepada PFAM masing-masing berkaitan isu tunggakkan gaji dan penderaan mental yang dilakukan oleh pemilik kelab tersebut.