Belum sampai masanya untuk JDT dan kelab dari utara untuk menyertai Liga Wanita Nasional?
Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 bakal bermula pada hujung bulan ini, namun bilakah dapat kita lihat pasukan daripada bahagian utara Malaysia seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis serta pasukan nombor satu negara ini, Johor Darul Ta’zim akan turut sama bertanding?
LWN pada tahun ini akan disertai oleh lapan pasukan yang bakal berentap dengan format ‘home & away‘ seperti yang telah diterangkan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi sebelum ini.
Lapan pasukan yang akan menyertai adalah Kelana United FC, Kuala Lumpur, Malaysian University, Raintown FC Tigress, Sabah, Selangor FC dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang.
Namun ramai juga yang menantikan kemunculan pasukan JDT menghantar pasukan wanita mereka walaupun semua mengetahui TMJ masih belum menubuhkan pasukan wanita mereka lagi.
Jika dibayangkan dengan kemampuan JDT menghasilkan pemain-pemain bola sepak lelaki yang berkualiti, tidak hairan sekiranya satu hari nanti skuad wanita mereka bakal meletup dan menyinar mengalahkan pasukan-pasukan yang sudah lama bertapak dalam industri bola sepak wanita tanah air.
Hal ini boleh dilihat melalui pasukan futsal mereka yang baru sahaja satu musim mengikuti kancah Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) namun sudah menunjukkan prestasi yang meletup apabila berjaya menjadi juara peringkat kumpulan dengan hanya satu kekalahan memintas pasukan Selangor MAC yang boleh dikatakan ‘favourite’ kejohanan.
Berbeza dengan pasukan-pasukan yang berada di Zon Utara seperti Pulau Pinang dan Kedah masing-masing bermain dalam kelompok bahagian itu sahaja dan masih belum mencuba nasib untuk bermain di LWN.
Namun meskipun tidak bermain di LWN dalam edisi yang lepas, mereka juga berjaya melahirkan pemain-pemain yang beraksi buat pasukan Malayan Tigress B-19 yang kini sedang berada di Palembang, Indonesia bagi bersaing dalam Kejohanan Wanita AFF B-19 2023.
Nur Amirah Rahman yang merupakan ketua pasukan Malayan Tigress B-19 dan Nurfarisya Hanim Zaki Kedua-dua pemain asal Kedah yang bermain dengan Kelab Bola Sepak Red Eagle yang berpengkalan di Jitra, Kedah.
Selain daripada itu, zon utara juga melahirkan beberapa pasukan yang aktif mengikuti pertandingan-pertandingan melibatkan bola sepak wanita antaranya Pulau Pinang dan Perlis United FC yang turut serta dalam LWN di Zon Utara.
Sebelum ini TMJ dalam satu pernyataan memberitahu bahawa akan ada masa yang sesuai untuk membina sebuah pasukan bola sepak wanita yang membawa nama JDT.
Selain daripada masa yang sesuai,TMJ sendiri memberitahu bahawa apabila kewangan kelab tersebut sudah semakin baik dan meningkat mereka akan menilai semula perancangan untuk menubuhkan pasukan bola sepak mereka sendiri.
Bola sepak wanita kini semakin berkembang di luar negara dan tidak terlepas juga dalam negara kita dengan kembalinya Liga Wanita Nasional 2023 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.