Baru jadi juara kejohanan SAFF, India bakal jadi ujian sebenar untuk Malaysia di Pestabola Merdeka
India yang baru sahaja menjuarai Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (Kejuaraan SAFF) bakal menjadi tetamu dalam Pestabola Merdeka 2023 bersama pasukan yang membuat penampilan sulung mereka di kejohanan berprestij ini iaitu Lubnan dan Palestin.
India yang kini berada di ranking 101 FIFA berjaya menumpaskan pasukan yang berada di kedudukan 143 dunia iaitu Kuwait dalam perlawanan akhir semalam dengan kemengan diraih melalui sepakan penalti selepas masing-masing terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Dengan kekuatan India berdasarkan ranking FIFA beserta momentum menjuarai Kejuaraan SAFF semalam sudah pasti akan memberikan cabaran terutama buat skuad kebangsaan kita pada Pestabola Merdeka nanti.
India yang dibarisi pemain-pemain campuran muda dan senior sejak awal sudah tidak sabar untuk bersaing di Pestabola Merdeka memandangkan mereka antara yang terawal mengesahkan diri bagi menyertai kejohanan berprestij ini.
Antara pemain tumpuan yang ditunggu-tunggu adalah penjaring gol terbanyak sepanjang masa buat India, Sunil Chhetri yang berada di belakang pemain terbaik dunia iaitu Cristiano Ronaldo dan juga Lionel Messi dengan jumlah jaringan sebanyak 92 gol dalam kedudukan penjaring terbanyak untuk skuad kebangsaan.
Pemain yang kini berusia 38 tahun itu sudah pun bermain untuk India sebanyak 142 kali sejak tahun 2003 bersama skuad India bawah 19 tahun.
Kapten skuad Harimau Bengal itu juga pernah berkelana ke Portugal untuk bermain bersama pasukan Sporting B bagi musim 2012/13 selain mencapai rekod peribadi menjaringkan 106 gol, 18 bantuan jaringan dalam 246 penampilan bersama skuad Bengaluru FC.
Hal ini secara tidak langsung dapat menjadikan sebagai satu cabaran buat barisan pertahanan didikan Kim Pan-gon (KPG) yang mana dalam siri perlawanan persahabatan sebelum ini hanya dibolosi dengan satu gol sahaja.
Selain itu, dengan adanya pasukan seperti India, Lubnan yang menduduki ranking ke-99 FIFA dan juga Palestin yang berada di tangga ke-93 memberikan ruang dan peluang buat skuad kebangsaan negara beradaptasi dengan gaya dan corak permainan pasukan-pasukan yang berada jauh di atas mereka.
Piala Asia yang sudah pun hampir tiba, jadi skuad kebangsaan seharusnya mengambil peluang ini untuk bermain dengan banyak pasukan negara lain yang lebih kuat, tambahan pulan pada bulan September nanti akan berlangsung juga perlawanan persahabatan Kalendar FIFA.
Boleh dikatakan pada dua perlawanan persahabatan sebelum ini menentang Papua New Guinea dan Solomon Islands, skuad negara tidak berdepan dengan ujian sebenar untuk mengukur tahap sendiri.
Untuk rekod, kali terakhir kejohanan Pestabola Merdeka dilangsungkan adalah pada tahun 2013 iaitu Malaysia B-23 menjadi juara buat kali ke-10 dalam tempoh 41 edisi diadakan selepas menumpaskan pasukan Myanmar B-23 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.