Saya redah tiga jam perjalanan untuk beri kelengkapan badminton kepada adik Chrisy – Adrian Edy

365

Baru-baru ini, seorang influencer dari Sabah, Adrian Edy tular apabila videonya membantu bakat muda badminton, Chrisy yang berasal dari keluarga yang susah untuk membeli kelengkapan badminton.

Videonya itu mendapat pujian ramai pihak yang terharu dengan tindakan pemuda itu yang sanggup berjalan jauh semata-mata untuk menyerahkan sumbangan kepada Chrisy.


Menceritakan pengalamannya, Edy berkata bahawa ia bermula apabila jurulatih kepada Chrisy menghubungi dirinya di media sosial untuk menceritakan tentang Chrisy.

“Pada awalnya jurulatih beliau yang hubungi saya, dia kata anak didiknya itu seorang pemain yang berbakat, dan dia kata Chrisy punya raket sudah patah dan kasutnya sudah koyak, jadi dia mahu meminta bantuan dari saya dan saya pun bersetuju untuk membantu.

Saya beritahu jurulatihnya bahawa saya mahu datang melawat tetapi Chrisy tidak tahu bahawa saya datang untuk berikan hadiah, dia ingat saya hanya mahu tengok dia bermain saja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya, jarak antara tempat tinggalnya dengan sekolah tempat Chrisy berlatih adalah tiga jam perjalanan menaiki kenderaan.

Beliau berkata, pada mulanya, reaksi Chrisy apabila beliau datang hanyalah biasa sahaja kerana tidak tahu kejutan yang bakal diterima.

“Masa saya datang tu dia sedang kutip bulu tangkis, saya pun bantunya dan kemudian duduk berborak dengannya, selepas itu saya kata saya ada bawa sedikit hadiah dan mengarahkan pasukan saya untuk ambil.

Saya serahkan raket dahulu kepadanya, dan selepas itu kasut, riak wajahnya tersenyum. Selepas itu saya berikan baju pula dan dia terus menangis gembira kerana dia beritahu saya bahawa dia tidak pernah menerima hadiah-hadiah seperti ini.”

Tambah Edy, beliau tidak menjangka bahawa perbuatannya itu turut menyebabkan jurulatih Chrisy menitiskan air mata.

Edy berkata, beliau gembira dapat membantu orang ramai dan berharap apa yang dilakukannya itu dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk membuat kebaikan.