Sudah boleh tukar nama ‘Le Tour de Malaysia’ musim depan jika Langkawi masih tidak tersenarai

1,243

Saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun ini sedikit janggal apabila Langkawi tidak disenaraikan dalam salah satu lokasi bagi perlumbaan tersebut.

Perkara ini berlaku kerana untuk memasukkan Langkawi dalam senarai lokasi perlumbaan LTdL akan memakan kos yang banyak dan laluan di sana juga dianggap tidak begitu baik, sekaligus terpaksa ‘dibuang’ daripada senarai laluan.


Tetapi sekiranya Langkawi tidak dimasukkan dalam senarai laluan, nama kejohanan itu dilihat sebagai tidak relevan lagi.

Mungkin lebih baik sekiranya namanya ditukar kepada Le Tour de Malaysia sekiranya tiada laluan di Langkawi untuk kejohanan itu dalam edisi akan datang.

LTdL merupakan kejohanan berbasikal lebuhraya yang ditarafkan sebagai peringkat Pro dalam klasifikasi perlumbaan yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Pelumbaan yang telah dilangsungkan secara tahunan sejak tahun 1996 itu diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir atas niat meletakkan Malaysia pada peta sukan dan pelancongan dunia pada ketika itu.

Kejohanan ini juga pernah dikenali sebagai kejohanan lumba basikal termahal di Asia disebabkan jumlah hadiah wang tunai buat pemenang adalah bernilai RM1.1 juta pada permulaan kejohanan ini dilangsungkan.

Banyak pasukan elit berbasikal dunia turut serta dalam perlumbaan ini yang mana antaranya adalah pasukan MAPEI yang mendominasi kejohanan tersebut sekitar tahun 1998 hingga 2002 dan merancakkan lagi suasana musim tersebut.

Namun saban tahun semakin kurang sambutan untuk setiap edisi LTdL dijalankan seperti dahulu,di mana kita dapat lihat ramai penonton atau penduduk di sekitar laluan terpilih memenuhi ruang sisi jalan raya bagi memberikan sokongan kepada pelumba-pelumba.

Hal ini amat penting bagi mencapai objektif utama perlumbaan ini ditubuhkan sejak awal iaitu untuk membawa Malaysia ke mata pelancong-pelancong luar dengan menunjukkan budaya serta sikap masyarakat kita yang mesra.

Satu ketika dahulu juga, iklan LTdL sering berkumandang di kaca televisyen sehinggakan lagu temanya menjadi siulan rakyat Malaysia, tetapi kini nampaknya tidak ramai yang teruja akan perlumbaan tersebut.

Selain itu, dari segi penyertaan pula sememangnya saban tahun penyertaan pasukan-pasukan bertaraf ‘UCI WorldTeams‘ semakin berkurang, di mana bagi edisi sebelum ini sebanyak enam pasukan yang mengikuti iaitu Astana Qazaqstan Team, Cofidis, Lotto–Soudal, Movistar Team, UAE Team Emirates dan EF Education-Easypots.

Namun bagi tahun ini pula, sasaran yang diletakkan oleh penganjur iaitu Majlis Sukan Negara hanya tiga pasukan sahaja.

Akan tetapi LTdL juga menjadi pentas buat jaguh-jaguh berbasikal lebuhraya negara menyerlahkan bakat mereka di mata pelumba-pelumba pro seperti Nur Aiman Mohd Zariff yang mewakili pasukan Terengganu Polygon Cycling.

Aiman juga sebelum ini dalam LTdL edisi 2022 telah mendapatkan gelaran raja bukit keseluruhan sekaligus mengulangi rekodnya pada tahun 2020 semasa bersama pasukan Sapura Cycling.

Diharapkan, kejohanan yang satu ketika dahulu ituj pernah menjadi penantian buat seluruh rakyat tempatan kembali gah sekaligus menjadi platform negara melahirkan jaguh lumba basikal serta memanfaatkan sektor pelancongan negara.