Malaysia jadi tuan rumah undian untuk kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027
Semua mata tertumpu kepada ‘rumah’ bagi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur, Malaysia pada Khamis, 27 Julai ini yang dipilih sebagai lokasi upacara cabutan rasmi saingan Kelayakan Awal Pusingan 1 dan Pusingan 2 Kelayakan Asia untuk Piala Dunia FIFA 2026 dan Piala Asia 2027.
Sebanyak 45 ahli persatuan dijangka mengetahui laluan mereka untuk ke Piala Dunia 2026, yang akan dihoskan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Ini adalah kali ketiga dua pusingan pertama kelayakan untuk Piala Dunia FIFA juga akan menjadi kelayakan untuk Piala Asia AFC.
Memandangkan terdapat 48 pasukan untuk pertama kalinya pada Piala Dunia 2026, AFC telah membuat beberapa perubahan pada format kelayakan kerana akan ada 8.5 slot ditawarkan untuk pasukan di benua Asia.
Ini bermakna 18 negara dengan kedudukan terendah daripada 45 negara keseluruhan berdasarkan Kedudukan ranking FIFA pada 20 Julai dan tertakluk kepada bilangan penyertaan yang diserahkan kepada FIFA akan memulakan saingan kelayakan mereka dalam Pusingan 1.
18 pasukan ini akan diundi untuk berlawan dengan satu sama lain, dengan format home dan away akan digunakan, akan dilangsungkan pada 12 dan 17 Oktober 2023.
Sembilan pemenang pada Pusingan 1 meneruskan kemaraan ke Pusingan 2, di mana mereka akan disertai oleh baki 27 pasukan.
Kesemua 36 pasukan ini akan diundi kepada sembilan kumpulan yang terdiri daripada empat pasukan, seterusnya akan bersaing dalam format round-robin, juga menggunakan format home dan away, antara November 2023 dan Jun 2024.
Kesemua sembilan juara kumpulan dan naib juara masing-masing akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, dan pada masa yang sama mengesahkan tempat mereka ke Piala Asia 2027 yang akan dilangsungkan di Arab Saudi.
Undian untuk pusingan ketiga bagi Piala Dunia 2026 akan dijalankan pada tahun 2024, di mana 18 pasukan akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan enam pasukan.
Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan layak terus ke Piala Dunia 2026 manakala dua lagi pasukan daripada AFC akan ditentukan dalam pusingan keempat kelayakan Piala Dunia, dengan satu lagi perlawanan melalui kelayakan antara benua.
18 pasukan lain dari Pusingan 2 pula akan meneruskan perjalanan ke pusingan ketiga dan terakhir kelayakan Piala Asia 2027.