Jurulatih badminton tempatan lebih ‘laku’ di luar negara, berjaya lahirkan ramai jaguh dunia
Jurulatih-jurulatih badminton Malaysia dilihat lebih ‘high demand’ dalam kalangan pasukan luar negara berbanding di dalam negara sendiri dengan kepakaran dan rekod mereka sebelum ini diperlukan untuk membantu pemain-pemain bertaraf dunia.
Tidak dapat kita sangkal lagi, Malaysia sememangnya lubuk kelahiran pemain-pemain badminton berkelas dunia seperti Datuk Misbun Sidek, Hafiz Hashim, Datuk Lee Chong Wei, Jeremy Gan, Tan Kim Her dan yang terbaru adalah Lee Zii Jia.
Namun perkara ini tidak menggambarkan bahawa kelahiran-kelahiran pemain ternama Malaysia ini bakal membentuk semula acuan bagi kelahiran pemain pelapis baharu yang bakal menggantikan tempat mereka disebabkan banyak negara luar yang meningkat maju dalam sukan badminton sudah mula merisik mereka.
Hal ini sememangnya memperlihatkan kepada kita bakat-bakat yang dimiliki bekas pemain-pemain terbaik Malaysia suatu ketika dahulu amat ditagih negara luar seperti Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan juga India yang sudah mula menjadi nama-nama besar di pentas badminton dunia.
Jika kita boleh lihat semula, antara bekas pemain-pemain ternama malaysia yang kini berkelana di luar negara adalah seperti Tan Kim Her yang melatih beregu nombor lima dunia iaitu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan telah meraih kejuaraan dunia pada tahun 2021 yang lalu.
Meskipun tidak melatih pemain Malaysia, jurulatih yang berasal daripada tanah air kita sendiri telah melahirkan pemain yang berstatus juara dunia.
Selain daripada Tan Kim Her, Wong Tat Meng juga yang kini sedang melatih Zii Jia sebelum ini ditugaskan untuk menggilap permata Korea Selatan dalam sukan Badminton iaitu An Se Young, disebabkan hasil didikan dan tunjuk ajar Wong Tat Meng jugalah An Se Young sudah mencapai ranking ke-2 dunia meskipun masih berumur 21 tahun.
Wong Tat Meng yang ketika masih lagi bergelar pemain pernah memenangi emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 1989 dan memperoleh gangsa di Sukan Asia Shanghai pada tahun yang sama.
Beliau juga sememangnya memiliki pengalaman yang luas dalam sukan badminton dunia apabila sudah berkelana ke Indonesia, Hong Kong dan Scotland bagi melatih para pemain di sana.
Hafiz Hashim dengan gelaran sebagai pemenang Kejuaraan Seluruh England pada tahun 2003 dan pemegang pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002 sememangnya seorang pemain dan jurulatih yang sangat berpengalaman.
Disebabkan itu kini beliau sedang berada di India untuk melatih pemain-pemain di Akademi Badminton Suchitra yang berada di Hyderabad, selain turut dipinang untuk melatih perseorangan wanita nombor satu negara tersebut iaitu PV Sindhu bagi mempersiapkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Masih banyak bekas pemain yang berada di luar negara membawa nama Malaysia dalam melahirkan pemain-pemain berkelas dunia seperti Lee Wan Wah yang sekarang sudah empat tahun bersama skuad badminton Jepun selain Wong Choong Hann yang dilantik menjadi jurulatih perseorangan Hong Kong sejurus meletakkan jawatannya di BAM bulan lepas.
Kita tidak ketandusan jurulatih meskipun ada beberapa jurulatih pasukan negara diambil daripada luar sebagai contoh Hendrawan dan Nova Widianto daripada Indonesia tetapi kenapa kebanyakkan daripada mereka yang berkelana di luar negara ini tidak berbakti di tanah air?
Adakah disebabkan bakat mereka tidak dipandang di negara sendiri sehingga tiada tawaran kepada mereka, atau disebabkan gaji yang ditawarkan di luar negara lebih besar?
Demikian persoalan yang meniti dari bibir ke bibir peminat badminton tanah air yang tertanya-tanya dengan situasi yang melanda ini meskipun bukanlah sesuatu isu yang baru, namun semakin hari semakin ramai jurulatih tempatan yang mula keluar negara.
Oleh yang demikian, diharapkan bakat dan kebolehan jurulatih badminton tempatan dapat dimanfaatkan dalam negara, supaya mereka boleh melahirkan jaguh dunia di tanah air sendiri seperti yang dilakukan kepada pemain luar negara.