Latih pemain ‘world class’ satu tekanan dan cabaran, Hafiz Hashim sedia bantu PV Sindhu raih emas Olimpik

217

Bekas pemain badminton nombor satu negara, Hafiz Hashim mengakui tugasan besar di bahunya apabila juara dunia wanita 2019, PV Sindhu meminta beliau untuk menjadi jurulatih pemain itu sebagai persediaan untuk ke Sukan Olimpik 2024.

Katanya, ini merupakan satu peluang untuknya mengembangkan lagi bakat kejurulatihannya melatih pemain berkelas dunia seperti Sindhu dalam misi untuk meraih emas pada temasya tersebut.


“Ini adalah satu tekanan dan cabaran buat diri saya dalam merealisasikan impian Sindhu, dan saya akui melatih pemain berkelas dunia sepertinya juga adalah impian buat seorang jurulatih.

Dari sudut yang positif, saya melihat ini sebagai satu peluang buat saya mengembangkan lagi bakat saya, Sindhu bukanlah pemain yang biasa, beliau pernah memenangi gelaran dunia dan meraih pingat perak dan gangsa dalam Olimpik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hafiz berkata, Sindhu merupakan seorang pemain yang amat komited dalam latihan dan begitu berdisiplin, selain mempunyai mental yang begitu hebat.

Tambahnya, beliau fokus untuk membantu Sindhu, yang baru pulih dari kecederaan, kembali ke prestasi terbaiknya dan menekankan aspek fizikal pemain itu.

“Beliau sebelum ini berehat selama lima bulan, dan tahun ini baru kembali semula, sepanjang tempoh berlatih dengannya beberapa minggu ini saya lihat pergerakannya sedikit terjejas sebab sudah lama rehat.

Bagi saya ia akan memakan masa tetapi pemain berkelas dunia sepertinya tahu apa yang perlu dilakukan dan sejauh mana beliau perlu berlatih untuk persiapan menjelang Olimpik tahun depan.”

Hafiz akan cuba untuk membantu pemain itu meraih pingat emas pada Sukan Olimpik tahun depan, selepas meraih gangsa pada edisi 2020.

Katanya, sebagai jurulatih, beliau harus bersiap sedia dengan segala keputusan apabila melatih pemain itu dan mempelajari sesuatu daripada apa-apa pun yang berlaku.