Apabila saya buat video marah-marah saya terkejut netizen Malaysia bagi semangat – Wak Lonjong
Youtuber terkenal Indonesia, Wak Lonjong mengakui satu ketika dahulu beliau tidak suka akan Malaysia apabila melibatkan bola sepak kerana perseteruan antara kedua-dua negara itu.
Katanya, apabila melihat Indonesia tewas kepada Malaysia, beliau akan berasa begitu kecewa dan pernah meluahkan kekecewaannya dalam video yang kemudiannya menerima reaksi daripada netizen Malaysia.
“Saya dulu memang tak suka pasukan Malaysia apatah lagi apabila jika Indonesia tewas, memang hancur hati, saya pernah buat video luahan perasaan kecewa apabila Indonesia tewas dan marah-marah.
Tetapi netizen Malaysia pula beri saya semangat dan menenangkan saya, jadi saya terkejut kerana saya marah pasukan Malaysia, dan sejak daripada itu saya mula rasa suka akan Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya, beliau juga pernah melawat Stadium Nasional Bukit Jalil apabila kedua-dua pasukan bertembung dan gembira dengan layanan yang diberikan oleh penyokong Malaysia.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI) merupakan stadium terbaik dan menyamakan ia seperti stadium-stadium gah di Eropah seperti Nou Camp.
“Dari segi ranking pastinya SSI yang paling bagus, bagi saya ia setaraf Eropah, pertama kali menjejakkan kaki ke sana saya rasa seperti di Barcelona.
Selain itu, Bukit Jalil juga mempunyai suasana yang baik dengan penyokong yang ramah.”
Beliau melihat bahawa skuad Harimau Malaya kini semakin meningkat di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Selain itu, beliau juga mahu melihat kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi untuk melihat peningkatan masing-masing di bawah ketua jurulatih terkini.