Kalau ada tempat latihan khusus, kita dapat elakkan kecederaan pemain – Bojan Hodak

249

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak beritahu padang latihan yang tidak tetap menjadi punca para pemain mudah cedera selain memerlukan bajet bagi memasukkan beberapa pemain untuk mengejar kelompok atas Liga Super.

Beliau selepas perlawanan menentang Terengganu FC sebentar tadi memberitahu bahawa pasukannya sekarang dalam usaha mengejar kelompok teratas Liga Super, jadi sememangnya mereka memerlukan satu padang latihan yang tetap bagi mengelakkan risiko kecederaan pemain akibat berlatih di padang-padang yang berbeza.


“Semuanya masih awal untuk mengejar tetapi jika kita mempunyai bajet untuk menukar pemain, mungkin akan tukar satu atau dua pemain dan jika kita ada padang latihan sendiri mungkin akan dapat mengelakkan kecederaan pemain.”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas perlawanan KL City menentang Terengganu yang memperlihatkan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan daripada seawal minit pertama permainan.

Menurut jurulatih asal Croatia itu juga, menjelang perlawanan akhir Piala FA pada 22 Julai ini, Bojan mengesahkan bahawa mereka akan berdepan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama skuad yang lebih mantap apabila pemain-pemain yang cedera sebelum ini sudah kembali ke kem latihan.

“Menjelang perlawanan akhir, perkara baik berlaku kepada kami apabila para pemain yang cedera sebelum ini sudah pun kembali antaranya Akram dan Khair Jones yang bermain hari ini.

Mereka baru kembali daripada kecederaan panjang, saya rasa kami masih ada masa, di final nanti kami akan datang dengan pasukan yang lebih baik.”

KL City yang melayani kunjungan skuad Terengganu FC tampil garang dengan mendominasi separuh masa pertama dan mendahului 3-1 pada separuh masa pertama, namun anak buah Tomislav Steinbruckner tidak putus asa lalu menyamakan kedudukan, dan akhirnya masing-masing akur membawa pulang satu mata.