Ekosistem sukan di Malaysia kurang beri fokus untuk bantu wanita cemerlang selepas bersara – Hannah Yeoh

163

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menganggap bahawa ekosistem sukan di Malaysia kurang memberi fokus untuk membantu golongan wanita melanjutkan karier dalam bidang sukan selepas bersara.

Katanya, ia menyebabkan sukar buat negara melahirkan lebih ramai jurulatih dari kalangan wanita disebabkan kurang sokongan yang sepatutnya.


“Jika kita lihat ekosistem sukan di Malaysia kurang memberi fokus untuk bantu golongan wanita cemerlang dalam sukan selepas bersara.

Peluang pekerjaan sebagai jurulatih itu ada tetapi jika sokongan infrastruktur seperti penjagaan anak dan lain-lain tidak wujud, kita tidak dapat melahirkan jurulatih wanita,”

katanya.

Hannah berkata demikian ketika ditemui dalam program Allianz Move Forward di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Katanya, beliau akan melakukan sesi townhall bersama atlet-atlet wanita untuk mendengar luahan mereka tentang cabaran dan halangan yang dihadapi.

“Saya akan adakan satu sesi townhall dengan atlet-atlet wanita kerana dalam lawatan kita ke Jepun, kita adakan kerjasama dengan negara itu untuk perkasakan wanita dalam sukan.

Dalam townhall itu, saya mahu mendengar dari golongan wanita sendiri apa cabaran dan halangan yang mereka hadapi untuk terus berkecimpung dalam bidang sukan.”

Tambahnya, selain itu, pihaknya dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) juga akan mengadakan banyak lagi program untuk melengkatkan atlet dengan kemahiran hidup.

Antara inisiatif yang telah dilakukan adalah pengendalian media sosial dengan bertanggungjawab, kursus pendidikan dan kerjasama dengan pihak doktor.