Jika kita tampilkan permainan sama lawan Vietnam nanti, tidak mustahil mampu catat sesuatu – Cameron Ng
Ketua jurulatih Malayan Tigress B-19, Cameron Ng gembira anak-anak buahnya berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Singapura dalam perlawanan pertama saingan Piala AFF Wanita B-19 sebentar tadi.
Beliau berharap gaya permainan yang ditunjukkan tadi dapat diteruskan apabila bertemu Vietnam selepas ini untuk cuba mencatatkan keputusan yang baik.
“Tahniah kepada Singapura kerana berikan satu cabaran yang baik, saya gembira para pemain bermain dengan baik dan mengikut pelan yang dirancang.
Kita harus akui Vietnam sebuah pasukan yang lebih kuat berbanding kita, tetapi saya mahu lihat para pemain menunjukkan permainan yang sama seperti tadi dan saya harap kami mampu catatkan satu keputusan,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas perlawanan menentang Singapura di Padang Athletic, Palembang yang menyaksikan Malaysia menang 1-0.
Beliau mengakui mereka mampu melakukan lebih baik lagi pada perlawanan tadi dan ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki lagi.
Dalam pada itu, pemain terbaik perlawanan, Amirah Rahman sangat bersyukur dapat membantu pasukan dan dinamakan sebagai pemain terbaik pada perlawanan itu.
Katanya, mereka perlu meningkatkan lagi tahap permainan untuk menentang Vietnam, dan sasarannya adalah untuk tidak membenarkan Vietnam menjaringkan gol dengan banyak.
“Saya gembira dapat mencatat kemenangan, ditambah pula dengan anugerah pemain terbaik perlawanan pertama dalam hidup saya, kami dah buat yang terbaik dan inilah hasilnya.
Untuk menentang Vietnam kita harus tingkatkan lagi permainan kerana mereka pasukan yang kuat, sasaran saya adalah tidak bolos banyak apabila menentang mereka.”
Sementara itu, penjaring gol tunggal perlawanan, S. Thivashini memberi kredit kepada rakan sepasukan kerana membantunya menjaringkan gol.
Katanya, ia adalah satu jaringan yang begitu istimewa buat dirinya kerana merupakan jaringan pertama di peringkat antarabangsa.
“Saya gembira dapat bantu pasukan menang dengan menjaringkan gol pada hari ini tetapi sejujurnya saya tidak akan dapat lakukan tanpa rakan sepasukan.
Ini adalah saat yang istimewa buat saya kerana ia adalah jaringan pertama saya di peringkat antarabangsa.”
Mengenai perlawanan seterusnya menentang Vietnam, Thivashini tekad mahu cuba mendapatkan kemenangan, dan setidak-tidaknya akan mencuba sebaik mungkin untuk mencatatkan keputusan seri.