Dari segi fanatik boleh dikatakan penyokong Indonesia nombor 1, tetapi saya harap jangan terikut dengan emosi – Wak Lonjong
Youtuber terkenal Indonesia, Wak Lonjong mengakui bangga dengan semangat penyokong bola sepak Indonesia, tetapi berharap penyokong tidak terlalu beremosi untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Katanya, dari segi fanatik, tidak dapat disangkal lagi bahawa penyokong Indonesia memang amat fanatik, dan mungkin yang terbaik di Asia Tenggara.
“Jika dari segi fanatik memang boleh dikatakan penyokong Indonesia mungkin nombor satu di Asia Tenggara, setiap perlawanan sangat meriah.
Tetapi harapan saya satu sahaja supaya menjaga emosi, jangan sampai insiden-insiden sebelum ini berulang kembali di mana ada kehilangan nyawa, memang amat sedih jika berlaku,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, beliau melihat prestasi pasukan di bawah Shin Tae-yong adalah amat memberangsangkan dengan peningkatan ditunjukkan berbanding jurulatih terdahulu.
Beliau berbangga kini ramai pemain dari negara itu yang mengembangkan sayap mereka di luar negara.
“Sejak ada Shin Tae-yong ini saya rasakan pasukan kebangsaan Indonesia menunjukkan peningkatan yang baik, berbanding jurulatih sebelum ini.
Saya juga lihat semakin ramai pemain Indonesia yang bermain di luar negara seperti Elkan Baggott, Pratama Arhan, Asnawi Mangkualam dan lain-lain, ia satu perkembangan yang baik.”
Tambahnya, untuk kejohanan Piala Asia 2023 nanti, beliau percaya dengan kemampuan Tae-yong membimbing pasukan itu dan merasakan Indonesia sudah bersedia.
Beliau melihat hanya ada beberapa penambahbaikan kecil yang perlu dilakukan menjelang saingan itu.