Kedah bermain bukan pada tahap sebenar menentang PDRM – Nafuzi Zain
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain mengakui persembahan pasukan ketika menentang PDRM FC sebentar tadi tidak berada di tahap yang sebenar.
Katanya, PDRM bermain dengan begitu baik dan menyukarkan anak-anak buahnya untuk mengawal bola dan bergerak bebas pada perlawanan itu.
“Bagi saya kita bukan main terlalu teruk, kita bermain baik cuma bukan di tahap sebenar kita dengan intensiti tinggi dan rancak.
Tahniah juga kepada PDRM kerana bermain dengan baik dan menyukarkan kami untuk bermain, pada separuh masa pertama kita agak perlahan terutama dari segi hantaran ke depan dan kombinasi di bahagian serangan,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau merasakan bahawa debut dua pemain baharu iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede masih belum mencapai tahap yang sebenar kerana masih lagi baru.
Katanya, mereka memerlukan masa untuk memahami gaya permainan pasukan dan membentuk keserasian dengan pemain-pemain lain, tetapi percaya kedua-duanya akan tampil lebih baik dari semasa ke semasa.
“Ifedayo sudah lama tidak beraksi secara kompetitif tetapi pada malam ini beliau bermain selama 90 minit jadi itu adalah petanda yang baik.
Moses pula bagi saya memerlukan masa untuk kerana beliau baru saja berlatih dengan kami beberapa hari, dan mungkin caranya bermain dengan pasukan sebelum ini berbeza.”
Nafuzi berkata, Kedah kini berada di landasan yang baik dengan kedudukan masih di empat teratas dan tidak jauh dengan dua pasukan di atas.
Katanya, kejayaan meraih tiga mata walaupun beraksi tidak begitu baik adalah satu perkara yang positif.