Saya belum sumbang apa-apa buat Malaysia, pastinya perasaan hebat dapat jaringkan gol untuk Malaysia – Ifedayo Olusegun

2,650

Penyerang Kedah Darul Aman FC, Ifedayo Olusegun mengakui gembira sekiranya dapat bermain untuk Malaysia untuk membalas jasa selepas lebih enam tahun bermain di negara ini.

Sepanjang bermain di Malaysia, beliau merasakan bahawa beliau masih belum menyumbang apa-apa untuk negara ini, tetapi merasakan sudah tidak ada masa buat dirinya disebabkan usia yang kini sudah mencecah 32 tahun.


“Naturalisasi atau tidak Malaysia kini dah jadi rumah saya selepas lebih enam tahun bermain di sini, sampai sekarang saya masih belum menyumbang apa-apa buat negara ini dan rakyat Malaysia.

Pastinya perasaan yang hebat jika dapat menjaringkan gol untuk Malaysia walaupun tidak dibayar satu sen pun untuk bermain untuk Malaysia, cuma saya rasa saya tidak ada masa lagi sekarang tetapi siapa tahu,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas kemenangan 2-0 menentang PDRM FC yang menyaksikan beliau berjaya menjaringkan satu gol pada debutnya itu.

Pemain kelahiran Nigeria itu merasa gembira apabila kepulangannya ke Liga Super berakhir dengan kemenangan dan kejayaan menjaringkan gol.

Walaubagaimanapun, beliau merasakan dirinya masih perlu menyesuaikan diri dengan gaya permainan pasukan barunya itu.

“Saya masih perlu bersabar dan faham dengan gaya permainan pasukan dan bentuk keserasian dengan para pemain lain.

Ia memerlukan beberapa perlawanan untuk membentuk persefahaman, bukan hanya dalam sesi latihan kerana situasi ketika perlawanan berbeza.”

Ifedayo mengakui beliau teruja untuk melakukan debutnya sebagai pemain Kedah di Stadium Darul Aman, walaupun tekanan tinggi.