Denda bakar suar di Malaysia boleh tolak hutang, tetapi jika di ACL tindakan lebih tegas akan dikenakan oleh AFC
Pada musim ini, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sering diterangi dengan nyalaan suar yang dibakar oleh para penyokong bagi menyambut kemenangan pasukan selepas tamat perlawanan.
Walaubagaimanapun, penyokong Johor Darul Ta’zim FC (JDT) perlu mengelakkan tindakan membakar suar di dalam stadium apabila bermain di Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang akan bermula tidak lama lagi.
JDT sebelum ini dikenakan denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebanyak RM120,000 atas tindakan para penyokong yang membakar suar dalam tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2023 di SSI.
Terdahulu pemilik kelab itu iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada mengatakan bahawa wang denda untuk pembakaran suar itu boleh ditolak daripada hutang lama FAM.
Namun, hal ini seharusnya dielakkan oleh skuad Harimau Selatan itu semasa bermain di saingan peringkat tertinggi Asia itu nanti disebabkan setiap perlawanan ACL adalah di bawah pemantauan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Antara denda yang boleh dikenakan oleh AFC berkaitan ke suar ini sudah semestinya melibatkan penalti yang berbentuk bayaran, selain tindakan tegas secara terus kepada badan bola sepak negara yang terlibat bagi menyekat daripada menjadi tuan rumah sesebuah kejohanan antarabangsa.
AFC sangat tegas dalam menangani isu suar yang sedang berleluasa yang mana sebelum ini sudah banyak pasukan terpalit dengan isu ini meskipun ia adalah perilaku salah yang dilakukan oleh penyokong, namun pihak kelab dan organisasi bola sepak negara tersebut yang perlu bertanggungjawab.
Bali United menjadi salah satu pasukan yang pernah didenda oleh AFC iaitu sewaktu menentang Kaya FC daripada Filipina, apabila penyokong tegar mereka membakar suar secara besar-besaran di bahagian tempat duduk penonton semasa peringkat kumpulan Piala AFC pada 30 Jun 2022.
Pasukan Bali United yang berpengkalan di Bali, Indonesia itu akhirnya telah dikenakan denda yang berat akibat melakukan pelanggaran fasal 64 dan 65 yang berkaitan dengan Kod Disiplin serta Etika oleh AFC dan sekaligus mengenakan penalti yang berjumlah US$30,000 (RM140,000).
Selain itu, negara jiran kita Thailand sebelum ini juga sudah berulang-ulang kali dedenda oleh organisasi bola sepak Asia itu apabila wujud sekelompok penyokong melakukan aktiviti pembakaran suar tersebut.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah didenda dengan nilai sama RM140,000 oleh jawatankuasa disiplin AFC selepas penyokong mereka menyalakan suar semasa perlawanan akhir kedua Kejohanan Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala semasa menentang seteru Indonesia.
AFC turut memaklumkan nilai denda itu adalah hukuman yang minimum dan sekiranya kejadian sebegitu terjadi lagi ia akan menyebabkan Thailand digantung daripada menganjurkan perlawanan di tempat sendiri pada masa hadapan.
Selain itu, semasa kejohanan Bola Sepak Pantai AFC yang diadakan di Pattaya pada bulan Mac lalu, AFC mendenda mereka dengan nilai yang agak tinggi iaitu 2.4 juta Baht (kira-kira RM319,000) dan sekiranya perkara ini masih berlaku ada kemungkinan besar mereka bakal disekat daripada menganjurkan lebih banyak kejohanan yang bertaraf dunia di kemudian hari.
Perkara ini perlu diambil perhatian lebih oleh penyokong JDT apabila mereka akan memulakan saingan di ACL nanti kerana ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada kelab tersebut malah akan memburukkan imej organisasi bola sepak negara juga.
Oleh yang demikian, pelbagai cara boleh dilakukan bagi membendung isu suar ini samada daripada bahagian pengawalan keselamatan stadium yang perlu lebih ketat atau tahap kesedaran penonton yang lebih tinggi tentang imej kelab kesayangan mereka.