Darren Lok terus dihantui kecederaan, posisi penyerang Sabah FC dan Harimau Malaya sudah ‘penuh’
Darren Lok boleh dikatakan dalam keadaan yang sangat genting apabila tempatnya kini di skuad Sabah FC dan kebangsaan masing-masing diisi dengan pemain yang kini dalam prestasi terbaik.
Kecederaan yang menimpa Darren sepertinya tidak datang dalam masa yang tepat apabila tempatnya di Sabah kini sedang diisi oleh pemain import baharu iaitu Ramon Machado, di samping Paulo Josue juga yang semakin meraih kepercayaan Kim Pan-gon untuk bermain di bahagian serangan pasukan kebangsaan.
Roman yang baru sahaja membuat debut bersama Sabah semalam sudah menjaringkan dua gol bersama kelab tersebut, manakala Paulo Josue pula yang pada awlanya akui tidak selesa untuk bermain di posisi penyerang tampak selesa apabila dalam dua perlawanan kebangsaan yang lalu beliau telah menjaringkan empat gol.
Hal ini sememangnya bakal membuatkan kedudukan pemain kelahiran England itu semakin goyah sekiranya pemain-pemain tersebut semakin selesa dan menjadi pilihan Datuk Ong Kim Swee dan Kim Pan-gon.
Memandangkan musim ini Darren agak kurang menyerlah selepas menyertai Sabah dan keberadaannya kurang memberi impak kepada bahagian serangan pasukan tersebut, selain hanya dapat menjaringkan empat gol sahaja daripada 12 perlawanan yang dimainkan.
Selain itu, Darren mungkin akan mengambil masa bagi mengembalikan semula prestasi maksimumnya, tambahan pula dia juga sudah mengalami beberapa siri kecederaan serius sepanjang karier bola sepaknya.
Darren semasa musim 2021 sebelum ini, beliau dihantui dengan kecederaan di bahagian buku lali dan otot perut yang terkoyak menyebabkan pemain kacukan itu terpaksa direhatkan selama empat ke enam minggu selain terlepas 13 perlawanan Liga Super.
Jika dilihat semula prestasinya sebelum ini bersama PJ City FC, sememangnya kelihatan berbeza dan lebih berkesan apabila sepanjang tempohnya bermain di kelab tersebut, Darren sudah menjaringkan 15 gol dan dua bantuan jaringan dalam 33 perlawanan yang dimainkannya.
Pemain penyerang tulen kebangsaan itu juga sudah menyarung jersi kebangsaan sebanyak 17 kali namun masih kurang memberi impak selepas hanya dapat menjaringkan tiga gol sahaja.
Dalam skuad kebangsaan yang turun ke Terengganu bulan lalu, Darren tidak menjadi pilihan Kim Pan-gon apabila namanya tidak dipanggil, sekaligus menyebabkan beliau harus bekerja dengan lebih keras untuk kembali cergas dan membuktikan beliau masih relevan buat skuad kebangsaan.
Bagi mendapatkan semula tempatnya di skuad utama Sabah mahupun pasukan kebangsaan, Darren yang kini sudah menjangkau usia 31 tahun seharusnya kembali cergas dan mengelakkan sebarang kecederaan yang mampu membuatkannya diketepikan, sekaligus menenggelamkan lagi dirinya daripada pandangan jurulatih.