Laman sosial media rasmi pasukan harus profesional, buat aduan kepada MFL atau FAM jika tak puas hati
Perlawanan Liga Super antara PDRM FC dan Kedah Darul Aman FC yang berlangsung sengit malam tadi akhirnya memihak kepada kelab utara itu selepas menang dengan dua jaringan yang dihasilkan menerusi sepakan penalti.
Ia menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap penyokong The Cops yang menganggap mutu pengadilan pada malam itu menyebabkan mereka gagal untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata.
Bukan itu saja, laman sosial media PDRM juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengadil contohnya di laman Twitter mereka dengan beberapa ciapan terhadap pengadil.
Sebagai laman rasmi bagi sebuah kelab bola sepak, ia adalah satu tindakan yang tidak profesional apabila mengeluarkan kenyataan seperti itu, terutama sekali menyamakan pengadil dengan penghantar makanan.
Liga mempunyai undang-undangnya sendiri dan jika tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, mana-mana pasukan boleh melakukan aduan kepada pengelola liga iaitu Malaysian Football League n(MFL) dam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
Sedangkan jurulatih dalam saingan Liga Malaysia sendiri jarang ada yang mahu mengkritik mutu pengadilan kerana tahu ia melanggar peraturan dan boleh dikenakan tindakan, dan akan membuat aduan kepada MFL dan FAM.
Walaupun sebelum ini akaun media sosial sering dipuji oleh netizen kerana kreativitinya dalam memuatnaik kandungan dan ‘banter’ yang dilakukan, tetapi dalam isu ini, hantaran-hantaran seperti itu dilihat tidak wajar.
Ia menampakkan seolah-olah pasukan itu tidak dapat menerima kekalahan dan bertindak seperti seorang ‘sore loser’.
Hantaran seperti itu juga dapat mencipta satu persepsi negatif dalam kalangan penyokong, lebih-lebih lagi yang tidak menonton perlawanan tersebut, sedangkan ramai juga yang bersetuju dengan keputusan penalti yang diberi itu.
Sebagai admin sosial media rasmi pasukan, harus ada rasa tanggungjawab dalam setiap hantaran yang dilakukan, dan tahap profesionalisme haruslah diutamakan tanpa melibatkan emosi.