Cameron Ng terbuka jika skuad wanita diperkuat pemain warisan

82

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malayan Tigress, Cameron Ng memberitahu beliau terbuka untuk menerima pemain warisan untuk menyarung jersi Malaysia sekiranya pemain itu benar-benar berkualiti.

Menurut Cameron, beliau sendiri tiada perancangan untuk mencari pemain warisan kerana menyerahkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua jurulatih wanita Soleen Al-Zoubi menentukan perkara itu.


“Saya tak pasti mengenai pemain warisan kerana perkara itu saya serahkan kepada pihak pengurusan dan ketua jurulatih Soleen.

Jika ada pemain warisan yang mahu main dan mempunyai kualiti, apa salahnya. Bagi saya jika seseorang pemain itu apabila beliau menyarung jersi negara dan beri komitmen 100% serta beri aksi terbaik saya tidak melihat ia akan menjadi masalah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Cameron mengakui terdapat jurang yang cukup ketara di antara skuadnya dan pasukan dari negara Asia Tenggara lain apabila mereka tersingkir awal dari Kejuaraan Wanita AFF-B19 2023 di Palembang, Indonesia baru-baru ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B menyaksikan mereka berjaya menang 1-0 ketika menentang Singapura dan tewas 6-0 kepada Vietnam.

“Setiap kejohanan yang kita pergi nampak pemain menjadi semakin matang dari satu perlawanan ke satu perlawanan, tapi kita perlu akui wujud jurang pasukan Malaysia dengan pasukan-pasukan lain.

Antara faktor yang memainkan peranan besar adalah purata usia pemain kami adalah 17 tahun, tambahan fizikal pemain pasukan lawan juga lebih besar serta lebih pengalaman jadi mereka mempunyai kelebihan.”

Beliau pada masa turut mengakui berdepan tugas sukar untuk cuba merapatkan jurang dengan pasukan lain, namun ia tidak mustahil sebaliknya hanya perlukan lebih masa.

Sementara itu, beliau juga melihat bola sepak wanita mempunyai masa depan yang cukup cerah apabila pelbagai usaha dilakukan termasuk memperkenal Liga Wanita Nasional (LWN) yang akan melahirkan lebih ramai pemain wanita berkualiti untuk masa hadapan.