Kalah tak semestinya kalah selamanya – Amirah Rahman
Kapten pasukan kebangsaan Malayan Tigress B-19, Amirah Rahman tidak berasa kecewa apabila mereka tersingkir awal dari Kejuaraan Wanita AFF B-19 2023 di Palembang, Indonesia baru-baru ini.
Menurut Amirah, beliau yakin pasukan kini berada di landasan tepat apabila mereka berjaya menang 1-0 ketika menentang Singapura dan tewas 6-0 kepada Vietnam sekaligus menyebabkan mereka tersingkir dek perbezaan gol.
“Kalah tak semestinya kalah selamanya. Alhamdulillah kami dapat kemenangan ketika menentang Singapura, tapi terpaksa akur apabila menentang Vietnam.
Tapi kalau tengok pada perlawanan tersebut, kami bermain dengan cukup baik sekali tapi nasib tidak menyebelahi,”
katanya.
Tambahnya lagi, cepat hilang fokus pada separuh masa kedua menjadi punca utama mereka bolos empat gol pada separuh masa kedua selepas mempamerkan aksi yang cukup cemerlang pada separuh masa pertama.
Dalam pada itu, penjaring tunggal negara, S. Thivashini memberitahu kurang pengalaman menjadi salah satu faktor mengapa mereka tersingkir awal.
Thivashini berkata demikian berdasarkan pengalamannya bermain untuk skuad senior Malayan Tigress dan juga untuk skuad B-19.
“Perbezaan ketara adalah pengalaman sebab skuad senior sudah bermain banyak kejohanan berbanding skuad B-19 yang baru sahaja dibentuk dan corak permainan juga berbeza.
Saya bagaimanapun tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Cameron Ng walaupun pernah beraksi bersama Soleen Al-Zoubi.”
Beliau pada masa sama turut berasa cukup gembira dan bangga apabila dapat menjaringkan gol untuk negara yang juga merupakan gol kemenangan ketika menewaskan Singapura, dan berharap selepas ini akan dapat terus menjaringkan gol untuk bantu pasukan.
Sementara itu, selepas kejohanan ini Amirah dan Thivashini akan menyertai pasukan masing-masing iaitu Kelana United FC dan SSMP (Sekolah Sukan Majlis United) yang akan bersaing di Liga Wanita Nasional (LWN) bermula hujung Julai ini.