Issey Nakajima-Farran saran Safawi Rasid cuba nasib di A-League

639

Biarpun sudah lama meninggalkan bola sepak Malaysia, namun lagenda Terengganu, Issey Nakajima-Farran masih lagi mengikuti perkembangan semasa beberapa pemain yang beraksi di Liga Super.

Salah seorang pemain yang mendapat perhatiannya adalah pemain sayap kebangsaan Safawi Rasid yang mana beliau mencadangkan pemain itu berhijrah ke Australia untuk beraksi di saingan A-League.


Menurut Nakajima, beliau kagum dengan kehebatan pemain berasal dari Terengganu itu ketika pasukannya (Terengganu) menentang dengan pasukan T-Team yang dibarisi oleh Safawi.

“Ketika perlawanan menentang T-Team, saya melihat pemain ini (Safawi) mempunyai skil yang hebat dan selepas tamat perlawanan saya ada beritahu beliau mempunyai masa depan yang cerah.

Beliau baru berusia 25 tahun dan akan menjadi pemain yang lengkap dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Saya rasa beliau patut berhijrah ke Australia kerana tidak banyak pilihan untuk pemain Malaysia tapi jika seseorang pemain dapat pamer aksi terbaik di A-League pastinya akan menarik perhatian kelab dari Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Safawi sekaligus menyaksikan beliau kembali kepada prestasi terbaik dan mendapat panggilan daripada ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon untuk menyarung jersi Harimau Malaya.