Saya masih ingat kami disajikan ayam goreng sebelum perlawanan – Issey Nakajima-Farran
Pemain pemain Terengganu, Issey Nakajima-Farran memdedahkan bahawa beliau dan rakan sepasukan pernah disajikan ayam goreng sebelum perlawanan.
“Maaf saya katakan ini tapi saya masih ingat ketika di Terengganu kami disajikan ayam goreng sebelum perlawanan. Saya beritahu jurulatih ‘kita tak boleh makan ayam goreng sebelum perlawanan’.
Ini kerana tamat separuh masa pertama ada pemain yang muntah dek makan ayam goreng. Saya suka ayam goreng tapi bukan makan sebelum perlawanan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Issey Nakajima bermain untuk skuad Sang Penyu dari tahun 2015 hingga 2017 yang menyaksikan beliau telah turun beraksi dalam 61 perlawanan dan menjaringkan 32 gol.
Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan Kanada itu juga memberitahu bahawa hubungannya dengan ketua jurulatih Terengganu ketika itu iaitu Irfan Bakti tidak begitu baik dek perbezaan pendapat.
“Saya tak begitu baik dengan Irfan walaupun ketika itu beliau dikatakan merupakan ketua jurulatih termahal ketika itu dan sangat dihormati, tapi sepanjang kariernya saya bermain di bawah jurulatih-jurulatih, maaf untuk saya kata ini tapi saya fikir persiapan kami tidak cukup bagus menjelang hari perlawanan, tapi kami berjaya menang kerana ketika itu kami bermain di divisyen dua.
Tapi ada juga beberapa perlawanan yang kami tewas. Mungkin faktor saya terlalu lantang menyebabkan saya tidak begitu baik dengan jurulatih.”
Beliau pada masa sama juga memberitahu beliau gembira apabila cadangannya untuk pasukan mempunyai bas sendiri dengan identiti pasukan direalisasikan.
Dalam pada itu, pemain yang mempunyai darah campuran Jepun ini turut mendedahkan pengalamannya ketika berhijrah ke Pahang pada pertengahan musim 2018 di mana beliau hanya turun beraksi dalam 10 perlawanan dan menjaringkan enam gol.
“Saya ingat Terengganu sahaja yang tak profesional, tapi Pahang lebih teruk lagi. Tiada fasiliti latihan, tiada shower, hanya guna getah paip untuk mandi. Bagi saya penting untuk ada padang latihan untuk berlatih dengan baik. Sekali lagi ini mungkin masalah diri saya yang selalu lantang bersuara.”
Sementara itu, beliau turut meluahkan rasa kagumnya dengan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya menempatkan diri mereka sebagai sebuah kelab yang cukup profesional dari pelbagai aspek dalam tempoh yang singkat.