AFC seolah-olah beri amaran dan berharap isu suar tidak berlaku di ACL

287

Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) seolah-olah memberi amaran dan sekaligus berharap agar perilaku membakar suar di dalam stadium tidak berlaku semasa pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bermain dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) nanti.

Menerusi laporan Sinar Harian, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata badan induk bola sepak Asia itu menetapkan pendirian bahawa akan menyokong setiap keputusan yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam mengutamakan keselamatan pada tahap tertinggi.


Hal ini ekoran isu pembakaran suar di dalam stadium oleh para penyokong JDT yang dilihat telah menjadi satu rutin setiap kali pasukan mereka beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Meskipun dengan menyalakan suar di dalam stadium semasa pertandingan berlangsung menunjukkan suasana yang mengujakan untuk para penonton, namun tidak boleh diabaikan dari aspek keselamatan penyokong terutama kanak-kanak.

Sekiranya ada kanak-kanak ataupun mereka yang mempunyai penyakit melibatkan pernafasan tidakkah akan mengundang bahaya buat mereka?

Hal ini perlu dipertimbangkan oleh para penyokong JDT yang bakal beraksi di ACL yang berada dalam bidang kuasa AFC, dan pastinya akan bertegas dalam isu ini.

Selain itu, pasukan tersebut juga perlu memikirkan kesan terhadap organisasi bola sepaknya sekaligus akan memberi impak negatif kepada wajah sukan bola sepak tempatan.

AFC sangat tegas dalam membanteras isu-isu yang berkaitan dengan pelanggaran etika keselamatan yang ditetapkan.

Baru-baru ini, pasukan itu didenda RM120,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan tindakan penyokong menyalakan suar dalam tiga perlawanan Liga Malaysia.

Sekiranya perkara ini tetap berlaku dalam perlawanan JDT di ACL nanti, mungkin terdapat denda lain yang akan dikenakan kepada mereka, yang paling tidak dimahukan pastinya sekiranya terpaksa beraksi di gelanggang kosong atau berkecuali.

Para penyokong boleh mengambil ikhtibar daripada kes yang berlaku di Thailand apabila suar dan bunga api dinyalakan oleh peminat ketika kejohanan Piala Asia Bola Sepak Pantai AFC di Pattaya, Thailand baru-baru ini, yang menyebabkan persatuan bola sepak negara itu didenda USD70 ribu (RM321,230) dan amaran agar tidak melakukannya lagi atau disekat dari menjadi penganjur acara sebegitu lagi untuk masa hadapan.

Thailand sebelum ini sudah banyak kali dikenakan denda dan tindakan keras oleh AFC akibat daripada perilaku segelintir penonton mereka yang membakar suar ketika kejohanan di bawah badan organisasi itu dilangsungkan.

Hal ini seharusnya menjadi pedoman buat semua peminat bola sepak tempatan tidak mengira pasukan kerana pastinya tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.