Wujudkan semula Piala Milo, jadi platform bintang bola sepak muda negara bersinar

616

Bila bicara mengenai Milo serta sukan bola sepak sudah semestinya menggamit kenangan para peminat tempatan apabila dahulu wujudnya Piala Milo yang melahirkan ramai pemain bintang.

Milo merupakan salah satu produk minuman yang sangat berkait rapat dengan sukan tanah air apabila sejak dahulu lagi ia memainkan peranan penting dalam menganjurkan kejohanan dalam penghasilan bakat-bakat muda selain menjadi penaja utama beberapa kejohanan besar yang menawarkan hadiah-hadiah yang lumayan.


Antara kejohanan yang tidak dapat dilupakan sehingga kini adalah Piala Milo dan Piala Coca-Cola yang telah berjaya melahirkan ramai pemain-pemain bintang dalam kancah bola sepak tempatan sejak dahulu lagi.

Piala Milo yang satu ketika dahulu menjadi antara kejohanan terbesar untuk peringkat bawah umur, masing-masing dianjurkan bagi peringkat umur remaja seperti B-14, B-16 dan B-18 tahun.

Piala Milo ini boleh dikatakan satu kejayaan pada masa dahulu apabila daripada kejohanan itu, munculnya pemain-pemain muda berkebolehan seperti Akmal Rizal yang menjuarai Piala Milo 1998 bersama pasukan Kedah.

Akmal untuk pengetahuan umum merupakan pemain yang sangat berpengalaman kerana pernah berkelana ke Perancis untuk bermain bersama RC Strasbourg selain juga beliau merupakan pemain termuda yang dipilih untuk menganggotai skuad Olimpik tahun 2000 yang mana ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun.

Selain itu, Amri Yahya yang kini masih bermain di tahap tertinggi pada usia 42 tahun turut berasal daripada Piala Milo yang mana ketika itu beliau menyarung jersi Selangor dan menjuarai kejohanan tersebut pada tahun 2001.

Pemain yang telah menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Gergasi Merah itu juga berjaya membuktikan bahawa produk keluaran Piala Milo bukanlah calang-calang, dan buktinya beliau masih utuh bermain pada usia kini.

Namun kini, meskipun sudah tiada Piala Milo seperti tahun 90-an dan tahun 2000 dahulu, Milo masih menyediakan beberapa siri kejohanan yang menjadi nadi sukan remaja di negara kita.

Antaranya adalah Karnival Futsal Milo Hidup Bola yang dilangsungkan saban tahun telah melahirkan ramai pemain bola sepak muda tempatan yang dilahirkan daripada kempen ini.

Pemain yang kini menjadi bintang sensasi dalam kancah bola sepak tempatan iaitu Arif Aiman yang menyertai Karnival Futsal Milo Hidup Bola itu pada tahun 2018 sekaligus terpilih untuk menyertai pasukan futsal Milo Malaysia bermain di kejohanan jemputan di Australia.

Selain itu, pemain kelahiran Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat telah memulakan karier bola sepaknya dengan sukan futsal dan bergiat aktif dalam Karnival Futsal Milo Hidup Bola pada tahun 2014 hingga 2015.

Hal ini telah menjadi tunjang utama dalam perjalanan kariernya yang kini telah menjadikannya sebagai salah seorang pemain berpengalaman, telah bermain untuk tiga pasukan di Liga Super iaitu Terengganu, Kelantan dan juga kini sedang bermain bersama Penang.

Oleh yang demikian, sekiranya kejohanan-kejohanan seperti ini ditambah baik dan diwujudkan semula sudah pasti lebih ramai pemain-pemain muda berbakat tidak kira jantina lelaki mahupun wanita yang akan lahir dan merancakkan lagi kancah bola sepak tempatan.

Justeru, cadangan untuk mewujudkan kembali kejohanan seperti itu wajar dipertimbangkan secara serius, dan ditambah baik lagi untuk kekal relevan pada dekad ini.