Joachim Low atau Lothar Matthaus? Erick Thohir betul-betul ingin bawa Indonesia ‘mendonia’

968

Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir nampaknya betul-betul ingin membawa bola sepak Indonesia ‘mendonia’ apabila baru-baru ini heboh di media sosial negara itu berkenaan kemungkinan dua legenda Jerman, Joachim Low atau Lothar Matthaus yang bakal berganding bahu dengan Bima Sakti dalam mempersiapkan skuad B-17 tahun mereka ke Piala Dunia B-17 tidak lama lagi.

Hal ini tercetus apabila Erick sebelum ini telah menyatakan usahanya dalam membawa jurulatih berpengalaman daripada Jerman sebagai pengarah teknikal tidak lama lagi untuk membantu Bima Sakti.


Erick juga telah memberikan bayangan bahawa sosok individu itu adalah berumur 60 tahun ke atas dan pernah bermain bersama pasukan Jerman, sekaligus kecoh media sosial apabila netizen mereka meneka bahawa Joachim Low atau Lothar Matthaus mungkin dipanggil olehnya.

Perkara ini tampak seperti mustahil untuk mereka yang tidak mengenali siapa Erick akan tetapi untuk mereka yang sedia maklum dengan latar belakang Presiden PSSI itu, ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh dicapai.

Sebagai bekas pemilik pasukan gergasi eropah iaitu Inter Milan yang bermain di Serie A, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk mendapatkan kenalan atau jurulatih yang bertaraf bintang.

Selain mempunyai kenalan atau connection yang banyak dalam industri bola sepak di Eropah, nilai bersih pendapatannya juga cukup malah lebih daripada mampu untuk menyediakan gandingan yang terbaik untuk Bima Sakti.

Lagipun, kedua-dua jurulatih itu ketika ini tidak mempunyai komitmen bersama sebarang pasukan, dan boleh ‘dilamar’ terus oleh mana-mana pihak.

Erick juga sebelum ini telah menyediakan perancangan buat skuad B-17 mereka, di mana persiapan rapi akan dibuat dalam tempoh empat bulan ini apabila bakal menjalankan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang lebih kuat daripada benua Eropah, Afrika, dan Asia.

Di bawah jagaan Erick, Indonesia kini sememangnya sudah mendonia apabila berjaya membawa Juara Piala Dunia iaitu Argentina untuk perlawanan persahabatan di negara itu, dan tidak lama lagi turut membawa kejohanan Piala Dunia B-17 ke tanah air mereka.

Segalanya adalah atas usaha dan pelan yang dirangka oleh Erick Tohir yang sememangnya berhasil untuk membawa bola sepak Indonesia ke satu tahap yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Piala Dunia B-17 tahun yang akan berlangsung bermula daripada 10 November sehingga 2 Disember tahun ini menampilkan pasukan Indonesia yang layak secara automatik selepas dipilih sebagai tuan rumah buat edisi kali ini.