‘Haters’ itu adalah peminat yang tersakiti, mungkin saya pernah tak reply DM – Intan Serah

864

Pemain pasukan wanita Kelana United FC, Intan Serah menjadikan golongan haters sebagai salah satu dorongan untuk beliau menjadi pemain yang lebih baik lagi.

Katanya, bermain di mana-mana sahaja pasti akan ada golongan sedemikian, tetapi beliau melihat segala-galanya dari sudut positif.


“Bagi saya haters itu adalah peminat yang tersakiti, mungkin saya tak balas DM (direct message), atau tak baca komen dia ke, mungkin sebab itulah.

Mana-mana pun ada haters ini, pada saya mereka beri satu dorongan dari sudut yang berbeza, saya cuma ambil positif segala-galanya untuk menjadi pemain yang lebih baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Intan mengakui beliau gembira dan teruja apabil berpeluang beraksi di Amerika Syarikat baru-baru ini bersama New York Dutch Lions FC, dan berkata bahawa bermain di luar negara adalah salah satu cita-citanya sebagai pemain bola sepak.

Tambahnya, beliau belajar banyak perkara daripada tempoh singkat di sana dan percaya ia boleh diterapkan bersama pasukannya ketika ini.

“Pasukan New York Dutch Lions terapkan gaya permainan dari bawah, dengan pasukan kebangsaan pun perkara yang sama, jadi ia peluang saya untuk belajar gaya permainan yang sama tetapi dengan jurulatih yang berbeza.

Selain itu mentality juga saya lihat boleh dicontohi oleh pemain-pemain tempatan, kerana mereka amat positif walaupun sudah ketinggalan jauh, bagi mereka ketinggalan 6-0 itu masih lagi 0-0.”

Beliau berkata bahawa antara kelainan yang dapat dilihat dalam arena bola sepak wanita di sana adalah lambakan pemain yang ramai, dan mudah untuk didapati di setiap kawasan.

Katanya, ia berbeza dengan suasana bola sepak wanita di Malaysia, yang mana untuk mengumpulkan 30 pemain daripada satu negeri pun agak sukar.