Antara pemain terbaik di Asia, Soh Chin Ann tercalon di DREAMXI Piala Asia
Pemain bola sepak legenda tanah air, Datuk Wira Soh Chin Ann terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila nama beliau tercalon dalam senarai pemain terbaik (Dream XI) sepanjang zaman Piala Asia.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengadakan satu pertandingan undi dan menang lawatan ke AFC Piala Asia Qatar 2023 yang dijadualkan bakal bermula pada Januari tahun hadapan.
Nominasi Soh Chin Ann ini sekaligus menjadi nilai tambah terhadap wajah bola sepak negara kerana dalam senarai pemain-pemain yang dikemukakan oleh AFC, hanya ada dua pemain yang dari daripada Asia Tenggara.
Soh Chin Ann yang tersenarai bersama beberapa lagi pemain pertahanan ternama antaranya adalah pengurus kelab Liga 1 Korea, Ulsan Hyundai iaitu Hong Myung-bo yang telah, pemain asal Jepun iaitu Yuji Nakazawa yang pernah memenangi Piala Asia pada tahun 2000 dan juga pemain Vietnam iaitu Que Ngoc Hai yang sehingga kini masih lagi bermain.
Hal ini sangat membanggakan kita sebagai rakyat Malaysia, apabila bakat daripada seorang pemain tempatan setanding dengan pemain-pemain hebat di Asia.
Tidak dapat dinafikan beliau seorang pemain yang cukup lincah di atas padang terutama dalam memastikan barisan pertahanan Malaysia tidak dilepasi mana-mana pihak lawan tidak mengira di peringkat Asia mahupun Eropah.
Lagenda bola sepak negara itu juga suatu masa dahulu memulakan karier bola sepaknya bersama skuad kebangsaan pada umur 19 tahun apabila terlibat sama dalam kejuaraan Piala Raja (King’s Cup) pada tahun 1969.
Selain itu beliau juga pernah berada dalam skuad Piala Asia 1980 yang menyaksikan skuad negara kandas di peringkat kumpulan namun ia merupakan satu kejohanan yang memberi seribu kemanisan buat dirinya apabila nama beliau dimasukkan dalam ‘Team of The Tournament’.
Hal ini satu pencapaian membanggakan apabila Soh Chin Ann ini merupakan satu-satunya pemain daripada Asia Tenggara yang memegang rekod tersebut sehingga dipecahkan oleh Nguyen Quang Hai pada tahun 2019.
Diharapkan bagi edisi Piala Asia kali ini, skuad Malaysia dapat menampilkan prestasi yang lebih cemerlang dan mencapai tujuan yang ditetapkan sekaligus menaikkan semula nama bola sepak negara di Asia seperti yang telah dilakukan Soh Chin Ann pada eranya.
Untuk rekod, Soh Chin Ann yang kini sudah berumur 73 tahun sehingga kini memegang rekod penampilan bersama skuad kebangsaan terbanyak di dunia dengan 195 penampilan sekaligus sebaris dengan bintang dunia Cristiano Ronaldo.