Dari padang bola sepak ke tirai besi

278

Dari bintang bola sepak, kini ke tirai besi selepas seorang pemain bola sepak negara ditahan oleh pihak polis selepas didakwa terlibat dalam kesalahan jenayah pecah rumah.

Baru-baru ini kecoh apabila media melaporkan mengenai penangkapan seorang bekas pemain bola sepak yang melakukan aktiviti pecah rumah di sekitar Johor dan selepas menjalani siasatan akhirnya pihak polis mengesahkan bahawa kesemua suspek yang ditahan positif dadah.


Bekas pemain bola sepak itu sebelum ini ditahan selepas pihak polis melihatnya dalam keadaan mencurigakan dan mendapati bahawa beliau terbabit dalam kejadian pecah rumah.

Hukuman berat pasti menanti tertuduh kerana beliau bukan sahaja didakwa atas jenayah pecah rumah tetapi juga didakwa mengambil barangan terlarang.

Sebelum ini sudah ramai yang mengeluarkan spekulasi berkenaan identiti sebenar pemain bola sepak tersebut namun ia tidak merubah fakta sebenar bahawa perkara ini telah menjatuhkan nama baik dirinya serta bekas pasukan-pasukan yang pernah disertainya dahulu.

Dikatakan sebelum ini, pemain yang kini berusia 33 tahun itu pernah bermain bersama kelab ternama di selatan dan utara sebelum menghilangkan diri dari radar bola sepak tempatan.

Walaupun tidak lagi beraksi dalam liga bola sepak tempatan namun sebagai pemegang status bekas pemain kebangsaan ia merupakan satu perilaku yang memalukan dan tidak seharusnya terjadi kepada seorang pemain profesional.

Pemain bola sepak dikenali sebagai individu yang berdisiplin dan memiliki cara hidup mewah tambahan pula sebelum ini bekas pemain itu juga sudah lama bermain bersama kelab terkaya di selatan tanah air itu.

Mungkin boleh disimpulkan atas kesempitan hidup selepas bersara membuatkan bekas pemain itu memilih jalan singkat bagi mendapatkan hasil namun tidak diketahui olehnya ia telah menjadi satu bala buat dirinya.

Diharap isu ini akan menjadi pengajaran dan pedoman buat semua pemain mahupun bekas pemain agar berfikir panjang dalam setiap perbuatan memandangkan status sebagai pemain bola sepak itu dipandangn tinggi terutama dalam peminat mereka.

Selain pemain sendiri, kelab juga perlu sentiasa menjaga kebajikan para pemain agar tidak terabai disebabkan setiap pemain mempunyai keluarga yang perlu diberi makan atau masalah peribadi yang tersendiri.

Oleh yang demikian, kes sebegini bukanlah perkara yang baru dalam kancah bola sepak Malaysia namun ia perlu diberi perhatian lebih khusus agar tidak ada lagi pemain atau bekas pemain yang terjerumus ke lurah derita ini.